Harga sayur di Melaka naik

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by
Pasar MBMB du Bachang turut mengalami kenaikan harga disebabkan faktor hujan.
Sebahagian pengamal media dan kakitangan KPDNHEP Melaka yang menyertai Program Rakan KPDNHEP Jom Teguh Bersama di Ayer Keroh pada malam Isnin.

MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengesan tiga pasar utama negeri ini berlaku kenaikan harga sayur sehingga lapan peratus sejak minggu lalu.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, ia berikutan faktor cuaca hujan berpanjangan sejak kebelakangan ini mengakibatkan tanaman sayur tidak menjadi di negeri-negeri pengeluar sayur.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan pegawai dan penguat kuasa di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Bachang, Pasar Besar Jasin dan Pasar Besar Alor Gajah mendapati terdapat perbezaan harga yang ketara antara pasar di Merlimau, Jasin dan MBMB.

“Antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga 50 sen hingga 80 sen termasuk kacang panjang, brokoli, sawi dan kangkung.

“Kita lihat permintaan sayur di negeri ini melebihi keupayaan pengeluar tempatan yang membekalkan secara kecil-kecilan dan ada terpaksa dibawa masuk dari Pasar Borong Selayang dan Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pertandingan boling bersama pengamal media di Program Rakan KPDNHEP Jom Teguh Bersama di Ayer Keroh di sini pada malam Isnin.

**media[1908453]**

Tambah beliau, meskipun kenaikan kecil itu tidak dapat dielakkan disebabkan perubahan cuaca, namun pihaknya akan terus melakukan pemantauan agar tiada yang mengambil kesempatan.

Jelas beliau, selain faktor cuaca kenaikan itu juga mungkin berlaku kerana ada peniaga yang mengambil bekalan sayur daripada orang luar dan melibatkan banyak peringkat.

“Contoh harga sawi di Pasar Besar MBMB RM4.50 sekilogram berbanding RM6.50 di Merlimau sedangkan itu kawasan luar bandar, manakala brokoli masing-masing berharga RM12 dan RM16,” kata beliau.