Sultan Johor kurnia 103,000 khemah bencana bernilai RM19 juta

in Edisi Johor by
Majlis penyerahan khemah kubik kepada wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Ismail di Istana Polo, Pasir Pelangi pada Selasa. – Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri di seluruh negara.

Menerusi muat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim pada Selasa, khemah tersebut merupakan kurniaan baginda menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Titah baginda, khemah kubik tersebut untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa-mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiap negeri akan mendapat lebih 5,000 unit khemah yang disampaikan oleh YSIJ.

Sebelum itu, majlis penyerahan khemah kubik kepada wakil-wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Istana Polo, Pasir Pelangi di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh.

Wakil negeri yang hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, YBM Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Avinderjit berkata Sultan Ibrahim mengurniakan khemah berkenaan kepada seluruh negeri untuk kegunaan mangsa-mangsa sewaktu bencana banjir.

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” katanya.