Pengangguran di Perak terus menurun

in Edisi Perak by
Ahmad Saidi (tengah) bersama Misbahul Munir (kanan) dan Mohamad Fikri ketika mempromosikan Karnival Kerjaya Perak Sejahtera di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

IPOH – Kadar pengangguran di Perak terus mencatatkan penurunan kepada 3.8 peratus pada suku pertama 2022 berbanding suka keempat tahun lalu iaitu sebanyak 5.3 peratus.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, pada suku keempat 2021 seramai 57,900 orang penduduk di negeri ini tidak mendapat pekerjaan.

Menurutnya, berdasarkan Jabatan Perangkaan, jumlah pengangguran pada suku pertama tahun ini berjumlah 42,700 orang.

“Dengan trend yang berlaku sekarang ini, kita percaya ini hasil usaha dan keprihatinan oleh kerajaan negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak). Kita boleh melihat dari bulan ke bulan Pasak anjurkan karnival kerjaya.

“Setakat ini Pasak telah anjurkan lapan karnival kerjaya di daerah-daerah. Setiap karnival yang dianjurkan sebanyak hampir 30 pemain industri bersama dengan kita,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama, Pengarah Pasak, Misbahul Munir Masduki dan Pengurus Besar Pasak, Mohamad Fikri Mohd Junit.

Ahmad Saidi berkata, kebanyakan jawatan kosong yang diisi adalah dari sektor perkilangan, pembuatan dan sektor perindustrian.

Menurutnya, sebahagian daripada mereka juga berjaya untuk mengisi kekosongan jawatan di bahagian pentadbiran dan juga pengurusan.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan negeri menerusi Pasak akan menganjurkan Karnival Kerjaya Perak Sejahtera pada 17 dan 18 September iaitu hujung minggu ini dengan penyertaan 60 pemain industri.

Katanya, sepanjang tempoh dua hari ini, sebanyak 10,000 jawatan kosonwg ditawarkan khusus kepada anak Perak yang sedang mencari pekerjaan.

“Jawatan kosong yang ditawarkan bermula di peringkat bawah sehinggalah jawatan tertinggi pengurusan untuk direbut oleh anak-anak Perak.

“Bukan itu sahaja, kita juga menjemput pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi untuk turut serta mencari peluang bagi latihan industri atau praktikal,” katanya.

Menurutnya, mereka yang berminat digalakkan untuk membuat pra-pendaftaran menerusi platform digital Pasak Perak bagi melancarkan proses pencarian kerja sempena karnival tersebut.

Jelasnya, pencari kerja juga digalakkan supaya membuat persediaan dengan membawa semua keperluan bagi tujuan temu duga mahupun permohonan pekerjaan bagi memudahkan urusan.