Tasik Kenyir dijangka diisytihar Taman Geo tahun depan

in Edisi Terengganu by
Kerajaan Terengganu berharap hasrat menjadikan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo dapat direalisasikan tahun depan.

KUALA BERANG – Kerajaan Terengganu berharap hasrat menjadikan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo dapat direalisasikan tahun depan, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Sulaiman Sulong.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa agensi sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menyiapkan dokumen diperlukan bagi mendapatkan pengiktirafan tersebut daripada badan yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, usaha tersebut telah dilakukan sejak 2015 namun tertangguh disebabkan beberapa faktor teknikal dan penerimaan masyarakat setempat terhadap langkah berkenaan.

“Kita sedang dalam proses untuk pemasyhuran (Tasik Kenyir sebagai Taman Geo), di peringkat teknikal kita ada jawatankuasa induk dan di peringkat kerja pun ada jawatankuasanya.

“Kita harap Tasik Kenyir dapat diisytihar sebagai Taman Geo negara tahun depan, malah kita juga akan berusaha lebih gigih untuk jadikan ia setaraf dengan Langkawi Geopark dan taman lain seumpamanya yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutup kursus asas jurupandu Taman Geo yang dianjurkan selama tiga hari dan disertai 30 penggiat pelancongan di negeri ini di Stesen Penyelidikan Alami Kenyir dekat sini petang Rabu.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Terengganu Habibah Tahir.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri komited mendapatkan pengiktirafan tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong luar ke Terengganu selain memelihara khazanah serta kelestarian alam semula jadi di sekitar kawasan Tasik Kenyir.

“Rakyat perlu difahamkan bahawa pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo bukan satu beban kepada mereka, bahkan suatu peluang yang perlu diraih bersama.

“Kesannya akan dapat dinikmati rakyat Terengganu terutama penduduk tempatan yang bakal mendapat lebih manfaat melalui kewujudan peluang pekerjaan, aktiviti ekonomi dan pelancongan,” katanya.

Menurut Sulaiman, pengisytiharan itu juga akan menarik minat masyarakat dari dalam dan luar negeri untuk meneroka tinggalan sejarah seperti manusia purba, ‘Bewah Man’ yang ketika ini hanya popular dalam kalangan penduduk tempatan. – Bernama.