Anak muda usah kemaruk popular

in Analisis Sinar by
Sinar Harian membuat tinjauan di platform media sosial dan hasilnya sebanyak 53 peratus netizen tidak setuju anak muda memilih untuk jadi ‘influencer’ atau pempengaruh berbanding menyambung pelajaran. – Foto 123rf

SEIRING dengan perkembangan teknologi yang pesat, media sosial juga menjadi platform terpenting bukan sahaja untuk tujuan komunikasi, malah menjana sumber pendapatan.

Ketika ini boleh dikatakan semua individu dalam setiap peringkat usia memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial peribadi.

Namun, apa yang paling membimbangkan adalah trend terkini di mana kebanyakan generasi muda lebih cenderung memasang cita-cita menjadi pereka kandungan berbanding melanjutkan pelajaran ke menara gading kerana media sosial ketika ini menjadi salah satu platform untuk menjana pendapatan.

Bagi mereka, pendapatan yang diperoleh oleh pereka content lebih lumayan malah tidak perlu bersusah payah menimba ilmu sehingga bertahun-tahun dan mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Apa yang membimbangkan apabila tular baru-baru ini tindakan segelintir pelajar yang berbangga berkongsi keputusan kurang cemerlang yang diperoleh mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada yang berpendapat tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana mereka seolah-olah berbangga dengan pencapaian tidak memuaskan.

Pada masa sama, kaji selidik yang dibuat pada 31 Julai lalu oleh Jabatan Perangkaan yang mendapati 70 peratus atau 390,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak berminat menyambung pelajaran.

Ia adalah isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak supaya minat anak muda terhadap pendidikan dapat terus dipupuk.

Melihat kepada trend itu, Sinar Harian membuat tinjauan di platform media sosial pada Rabu dan hasilnya sebanyak 53 peratus netizen tidak setuju anak muda memilih untuk jadi influencer atau pempengaruh berbanding menyambung pelajaran.

Alasan netizen, populariti di media sosial tidak akan kekal lama berbanding ilmu yang diperoleh jika menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, terdapat 80 peratus netizen yang setuju bahawa lambakan influencer yang menunjukkan hasil pendapatan lumayan mempengaruhi anak muda agar mengambil jalan singkat untuk hidup senang.

Ia seiring dengan apa yang dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Technology Sdn Bhd, Mohd Nizam Abdul Rashid iaitu masuk universiti atau mana-mana institut pengajian, bukan untuk dapatkan sijil semata-mata.

Katanya, apa yang penting adalah untuk dapatkan ilmu dan bentuk pemikiran supaya jadi orang terpelajar.

“Wang dan kejayaan? Kedua-duanya akan hadir secara berperingkat. Kalau tujuan adik-adik untuk dapatkan kertas sijil tu sahaja, usahkan masuk universiti, SPM pun, semoleknya adik jangan ambil. Lepas darjah enam, lepas tahu menulis, membaca dan mengira, adik terus la ceburkan diri jadi bintang media sosial,” kata beliau.

Menurutnya lagi, bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang bintang media sosial dapat bertahan atau merekodkan jangka hayat popular yang lama di medium tersebut.

“Berapa kerat je yang bertahan lebih daripada tiga tahun? Lepas tu, apa? Jadinya, mulalah ramai yang buat content yang kurang bijak.

“Pendidikan itu penting. Duit pun penting. Untuk jana duit yang bertahan lama, adik-adik perlukan strategi. Untuk menetapkan sesebuah strategi, adik perlu ada kepintaran. Untuk ada kepintaran, adik perlukan pendidikan.

“Kesimpulannya, jangan terpengaruh sangat dengan ceritera dongeng golongan yang kaya dan popular segera di media sosial ni, banyak yang kelentong.

“Dapatkan pendidikan, dalam masa itu, cubalah cari kelebihan dan kebolehan diri adik yang sebenarnya,” tulisnya.

Jika dilihat komen-komen di media sosial berkaitan isu ini, majoriti warga maya melahirkan rasa kurang senang dengan content tidak berfaedah yang disajikan pencipta kandungan masa kini.

Bahkan jika Ingin menjadi seorang yang berpengaruh dan memiliki pengikut yang ramai itu adalah pilihan dan hak masing-masing tetapi perlu ingat bahawa, jadilah seorang yang berilmu, yang memberi impak positif kepada pengikut.

Pereka konten juga perlu bertanggungjawab bagi content yang di hasilkan agar dapat menjadi inspirasi dan semangat buat semua warga maya.

*Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim ialah Pencipta Kandungan Media Sosial Sinar Harian