Mangsa banjir di Batu Pahat meningkat

in Edisi Johor by
Kerja memindahkan mangsa banjir oleh pasukan penyelamat. – Foto APM Batu Pahat

BATU PAHAT – Mangsa banjir kilat di daerah ini meningkat kepada 263 orang setakat 12 tengah hari Jumaat berbanding 255 orang yang direkodkan malam Khamis.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan sebanyak 74 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gading di sini.

“Kesemua mangsa merupakan penduduk dari Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Pekan Seri Gading dan Kampung Seri Tanjung,” menurut kenyataan itu.

Banjir kilat di lima lokasi itu berlaku disebabkan pertembungan hujan lebat bermula 1.30 pagi hingga 5.30 pagi, Rabu lepas dan fenomena air pasang.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan terjejas sudah mulai surut kecuali Kampung Baru Sri Gading yang mengalami keadaan ‘banjir termenung’ bagaimanapun, keadaan cuaca semakin cerah. – Bernama