Nyaris terpijak ular ketika bersantai di pantai

in Edisi Terengganu by
Seekor ular dipercayai daripada spesies ular laut yang dijumpai berlingkar di atas pasir di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Nerus pada Rabu.

KUALA NERUS – Seorang wanita nyaris terpijak seekor ular ketika bersantai bersama suami dan dua anak di Pantai Teluk Ketapang, di sini pada Rabu.

Tengku Qursyiah Tengku Hamid, 36, berkata, dia terserempak dengan seekor ular dipercayai daripada spesies ular laut berwarna hitam putih yang sedang berlingkar di atas pasir ketika berjalan menuju ke kereta kira-kira jam 6.20 petang.

“Pada mulanya saya tak perasan ular itu masih hidup kerana ia kelihatan kaku seolah-olah telah mati. Setelah diamati baru saya perasan sisiknya bergerak.

“Kalau tidak berhati-hati sudah tentu saya terpijak reptilia itu kerana saiznya tidaklah begitu besar. Ia lebih kecil jika dibandingkan dengan lengan kanak-kanak berusia setahun,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurut Tengku Qursyiah, disebabkan bergegas mahu pulang, dia segera mengambil gambar ular itu dan dikongsi ke dalam grup Whatsapp keluarga untuk mengetahui spesies ular tersebut.

“Dalam perjalanan pulang saya berasa bimbang apabila adik saya memberitahu ular itu daripada spesies berbisa dan mungkin berisiko menyebabkan kematian jika ada yang terkena gigitan.

“Jadi, saya segera berpatah balik ke pantai itu dan memberitahu mereka yang masih ada di situ supaya berhati-hati dengan ular berkenaan kerana bimbang ramai yang tidak perasan kewujudannya di kawasan itu,” katanya.

Tengku Qursyiah berkata, dia turut memuat naik gambar penemuan ular itu di laman sosial Facebook supaya lebih ramai yang berhati-hati ketika berkunjung ke pantai.

Sehingga Sabtu, perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi dengan 744 komen dan dikongsikan 944 pengguna media sosial tersebut.

“Waktu itu, saya tidak terfikir untuk melaporkan kepada pihak berwajib kerana lebih tertumpu untuk memberitahu kepada orang ramai supaya semua yang berkunjung ke situ lebih berhati-hati.

“Saya tidak tahu sama ada ular itu masih ada di lokasi berkenaan atau sudah dipindahkan ke lokasi lain kerana ketika saya dan keluarga pulang, ia masih berada di situ,” katanya.