Rakyat diminta kekalkan penyatuan ke arah negara maju, sejahtera

in Edisi Pahang by
Wan Rosdy

KUANTAN – Detik bersejarah sambutan Hari Malaysia menjadi pemangkin semangat semua rakyat untuk terus bersatu dalam menggerakkan negara ke arah pembangunan yang lebih maju demi mencapai kesejahteraan bersama.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dalam meniti hala tuju pembentukan sebuah negara, laluannya tidak semudah yang disangka.

Menurutnya, banyak ranjau dan rintangan di tengah perjuangan terpaksa ditempuh silih berganti sebelum Malaysia terbentuk melalui penyatuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Berpaksikan semangat perpaduan dan muafakat sehati sejiwa, akhirnya pada 16 September 1963 terlahirlah Malaysia tercinta ini,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, seluruh rakyat perlu kekal teguh tanpa mengira kaum, bangsa dan agama dalam membentuk negara yang harmoni.

Beliau yang turut hadir pada Majlis Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022 berkata, dalam mengejar urusan duniawi, perihal ukhrawi juga tidak boleh dilupakan.

“Sempena Hari Malaysia ini, tanamkan sifat kesyukuran yang tinggi kepada ALLAH SWT kerana dengan izin-NYA, negara kita masih dikurniakan keamanan dan kemakmuran.

“Teladanilah kepimpinan Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan kita untuk terus berbakti kepada negara dan masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, ukhuwah antara satu sama lain sebagai sebuah keluarga yang saling melengkapi juga perlu kekal dijaga.