22 kawasan di Melaka terjejas banjir, dua PPS dibuka

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by
Seramai 29 mangsa daripada sembilan keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di Alor Gajah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS). – Foto Ihsan APM.

MELAKA – Seramai 29 mangsa daripada sembilan keluarga yang terjejas akibat banjir kilat di Alor Gajah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) pada Ahad, selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka dalam kenyataan memaklumkan, mereka adalah mangsa banjir dari Kampung Bukit Tambun dan Kampung Bukit Balai, kedua-duanya di sekitar daerah Alor Gajah.

“Kedua-dua PPS itu dibuka sejak pukul 1 petang tadi di Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Bukit Tambun. Setakat pukul 4 petang ini terdapat 22 kawasan masih terjejas banjir dari beberapa daerah di Melaka,” menurut kenyataan itu.

Antara kawasan yang masih terjejas di Daerah Melaka Tengah ialah Pengkalan Rama Pantai, Bukit Bayan, Bukit Beruang Utama, Taman Desa Duyong, Semabok Dalam, Kampung Solok Bukit Baru Duyong, Jambatan Duyong, Permatang Duyong, Duyong Tengah, Bukit Duyong, Tampoi, Kampung Ayer Molek dan Kampung Kandang.

Di daerah Jasin pula, kawasan terjejas adalah Kampung Kilang Berapi, Kampung Merlimau Pasir, Pesisir Sungai Merlimau, Taman Merlimau Megah, Taman Seri Merlimau, Kampung Paya Lengkong dan Kampung Sri Tanjung. – Bernama.