Punca kebakaran Kampung Cina diketahui dua hari lagi

in Edisi Terengganu by
Laporan Sinar Harian berhubung kebakaran di Kampung Cina.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran yang melibatkan deretan kedai di Jalan Kampung Cina pada malam Ahad. – Foto Bernama

KUALA TERENGGANU – Punca kebakaran deretan rumah kedai di Kampung Cina di sini, hanya akan dapat diketahui selepas siasatan Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah kerugian sebenar kebakaran yang melibatkan 12 buah rumah kedai itu, juga masih dalam siasatan.

“Untuk bantuan awal, hari ini kerajaan sampaikan bantuan wang tunai RM1,000 kepada setiap mangsa (ketua isi rumah) dan selepas ini kita akan lihat apakah bantuan bersesuaian yang boleh disalurkan kepada semua mangsa terlibat.

“Sebahagian premis yang terlibat dibina atas tanah kerajaan, jadi kita kena tengok apa bantuan yang boleh diberikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini pada Isnin.

Menurutnya, kebiasaannya mangsa kebakaran yang mempunyai tanah sendiri layak menerima bantuan membina semula rumah bernilai RM60,000, manakala bagi mereka yang tidak memiliki tanah akan diberi sumbangan sebanyak RM25,000.

**media[1915398]**

“Disebabkan kebanyakkan mangsa juga adalah peniaga, kita akan berbincang dengan majlis bandaraya untuk cari tapak sementara, untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya.

Hanafiah berkata lagi, peniaga yang terlibat dengan kejadian itu juga boleh cuba memohon bantuan daripada Yayasan Pembangunan Usahawan Terenggamu (YPU).

Dalam kejadian malam Ahad, pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa hampir 10 jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina yang antaranya melibatkan kedai kain, kedai makan, kedai emas dan rumah penginapan.

Dalam kejadian itu juga, difahamkan empat keluarga yang menginap di deretan rumah kedai berkenaan tinggal sehelai sepinggang, kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan susulan api marak dengan cepat.

Pihak bomba memaklumkan terdapat sedikit kesukaran untuk memadamkan kebakaran kerana faktor cuaca yang berangin, menyebabkan api mudah merebak selain struktur bangunan yang sebahagiannya kayu. – Bernama