Sisa pepejal tiga daerah dihantar ke Port Dickson

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by
Sisa pepejal di tiga daerah kini dihantar di fasiliti pengasingan sisa, Ladang Tanah Merah, Port Dickson.
– Foto Facebook Teo Kok Seong.

SEREMBAN – Sisa pepejal di tiga daerah yang sebelum ini dihantar di dua pusat pelupusan di Kuala Pilah dan Jelebu kini dihantar di fasiliti pengasingan sisa, Ladang Tanah Merah (LTM) di Port Dickson bermula Sabtu.

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, ia sekali gus menyelesaikan isu kesesakan lori sisa pepejal di dua pusat pelupusan sampah berkenaan.

“Bermula Sabtu, semua lori tersebut akan menghantar sisa pepejal ke fasiliti pengasingan sisa (Waste Segregation Facility), Ladang Tanah Merah sebelum diproses di Waste to Energy (WTE).

“Ia bagi membolehkan WTE disitu melaksanakan proses percubaan dan setakat ini proses berkenaan berjalan dengan lancar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kok Seong memaklumkan operasi Tapak Pelupusan LTM di Port Dickson dihentikan sementara bermula 29 Ogos lepas sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak susulan kolam takungan sisa pepejal di situ telah pecah.

Arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada operator tapak pelupusan berkenaan.

Justeru, semua sisa pepejal domestik yang dikutip dari kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson dihantar ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu yang masing-masing terletak lebih kurang 100 kilometer dari Tapak Pelupusan LTM.

Malah satu perbincangan telah diadakan yang mana pihak operator Tapak Pelupusan LTM akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah air larut resap (leacheate) selain operator memaklumkan fasiliti WTE dijangka akan beroperasi pada pertengahan bulan September.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, berhubung operasi tapak pelupusan LTM di Port Dickson ia belum lagi dibenarkan beroperasi.

“Hanya WTE di LTM sahaja beroperasi, tapak pelupusan berkenaan masih belum beroperasi kerana masih tertakluk kepada JAS,” katanya.