'Keringkan kolam air perlu dapat izin pemilik ladang musang king'

in Edisi Utara by
Muhammad Sanusi (dua kanan) hadir merasmikan kilang pembuatan sarung tangan, Mölnlycke di Taman Teknologi Tinggi Kulim, dekat sini pada Selasa. – Foto Bernama
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan sidang media selepas Majlis Perasmian Kilang Molnlycke Eco Friendly Surgical Glove Plant di Kulim Hi Tech hari ini. – Foto Bernama,

KULIM – Kerja-kerja untuk mengeringkan kolam takungan air ladang durian musang king di puncak Gunung Inas di Baling perlu mendapat kebenaran pemiliknya sebelum langkah seterusnya diambil oleh pihak berkaitan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jika pemilik ladang tersebut memberikan kebenaran maka kerja-kerja untuk mengeringkan kolam takungan tersebut dapat dilakukan.

“Saya difahamkan (kolam takungan di puncak Gunung Inas) hendak dikeringkan, saya kata bukan minta pada kerajaan negeri, tetapi kena minta izin pemilik. Kalau dibenarkan pemilik, maka boleh dikeringkan kolam.

“Saya tidak tahu secara lengkap (perkembangan proses pengeringan), saya dimaklumkan macam itu sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan kilang pembuatan sarung tangan, Mölnlycke di Taman Teknologi Tinggi Kulim, dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada awal September meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeringkan tiga kolam takungan air sebesar gelanggang futsal itu di atas puncak Gunung Inas, secepat mungkin.

**media[1916417]**

Jelasnya, agensi itu akan memutuskan kaedah terbaik untuk proses pengeringan kerana pada masa sama, perlu melindungi kawasan perkampungan di kaki Gunung Inas.

Muhammad Sanusi berkata, dakwaan tiga kolam tersebut mampu membawa kejadian bencana lebih besar di sekitar kawasan tersebut oleh pihak tertentu adalah tidak tepat.

“(Kalau) dikeringkan (kolam takungan) tidak beri kesan apa-apa, ada air (di kolam) pun tidak beri kesan apa-apa. Ia hanya spekulasi dan naratif yang dibawa cuba menimbulkan rasa tidak selamat.

“Ia sengaja dibawa pihak tertentu dengan tujuan yang tidak sihat,” ujar Muhammad Sanusi lagi.

Pada 4 Julai lalu, tiga mangsa meninggal dunia di Kampung Iboi akibat bencana banjir lumpur dan aliran puing manakala lebih 800 penduduk dari 42 kampung sekitar Kupang turut terjejas.