Perak sambut baik ketetapan isytihar harta

in Edisi Perak by
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. – Foto Bernama

LENGGONG – Perak menyambut baik ketetapan kerajaan agar ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketetapan itu bukanlah asing dalam pentadbiran kerajaan negeri tersebut kerana pernah melaksanakan pendekatan sama semasa di bawah pimpinan Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

“Ya (sambut baik), kalau itu dijadikan sebagai polisi dan dasar untuk mengelak berlakunya salah guna kuasa serta sebagainya, sudah tentulah boleh.

“Zaman dulu semasa saya jadi Exco, ada buat perkara sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam program empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau dikenali empowerNCER-Latihan Kemahiran dan Keusahawanan Daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar di Dewan Serbaguna, Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan Perak bersedia untuk membuat persiapan ke arah itu dengan menyenaraikan semua yang terlibat membuat pengisytiharan harta seperti tempoh ditetapkan.

“Boleh kita buat persiapan dengan borang-borang tertentu dan meminta semua mereka yang dimaksudkan itu untuk membuat pengisytiharan harta, tidak ada perkara perlu dibimbangkan,” katanya.

Pada Isnin media melaporkan, perkara itu antara diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan arahan pengisytiharan harta turut membabitkan ahli badan kehakiman.

Mekanisme perisytiharan harta anggota pentadbiran, ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh SPRM pula akan diperkukuhkan bagi memantapkan kredibiliti serta integriti pentadbiran kerajaan.

Selain itu, pindaan dan penambahbaikan terhadap Kod Etika Bagi Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen sedia ada akan dilaksanakan manakala satu kod etika baharu turut diperkenalkan untuk Ahli Parlimen dalam Akta 347 dengan mengambil kira pengekalan prinsip pengasingan kuasa badan eksekutif dan legislatif.