Perintah berkurung perairan ESSZone hingga 7 Oktober

in Edisi Sabah Sarawak by
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah – Foto Bernama

LAHAD DATU – Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok dilanjutkan sehingga 7 Oktober ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas, sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing melawat pulau peranginan,” katanya di sini.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, katanya, semua ketua polis daerah di ESSZone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu. – Bernama