S P Setia, Affin Bank tawar penyelesaian pembiayaan rumah

in Bisnes by
Dari kiri: Ketua Jualan dan Pemasaran S P Setia, Norlina Mohd Nor, Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Tan Hon Lim, Naib Presiden Eksekutif S P Setia, Datuk Yuslina Mohd Yunus, Pengarah Urusan Perniagaan Mortgage, Jessie Wong Yen Yee, Pengarah Mortgage Affin Bank, Simeon Leong dan Pengurus Jualan dan Mortgage Affin Bank, Chee Lih Peng pada majlis pelancaran kempen itu, baru-baru ini.

S P Setia Berhad (S P Setia) menjalinkan kerjasama dengan Affin Bank Berhad (Affin Bank) menerusi kempen ‘Home Step Fast/i’ untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan rumah kepada pembeli rumahnya untuk beberapa projek terpilih.

S P Setia dalam satu kenyataan berkata, ‘Home Step Fast/i’ membenarkan pembeli rumah S P Setia terutamanya pembeli rumah pertama dan pelabur untuk menikmati aliran tunai yang baik.

“Ia menawarkan fleksibiliti bayaran balik bulanan yang rendah untuk tempoh lima tahun pertama daripada pemilikan kosong. Menerusi kempen ini, pembeli rumah yang memerlukan akses kepada dana kecemasan boleh memilih untuk menukar pinjaman mereka kepada skim simpanan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, menerusi ‘Home Step Fast/i’ pembeli rumah akan menerima margin pembiayaan sehingga 90 peratus dan penambahan lima peratus diperuntukkan untuk insurans pinjaman rumah (MRTA, MRTT, MLTT atau CLTA), yuran guaman dan dokumentasi, serta setem dan yuran penilaian.

“Tempoh pinjaman diagihkan sehingga 30 tahun atau sehingga umur 70 tahun tanpa tempoh ‘lock-in’ atau bayaran penyelesaian awal diperlukan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, hartanah S P Setia yang terlibat dalam kempen ‘Home Step Fast/i’ di Lembah Klang ialah Setia Alam Impian, Bandar Kinrara, Setia Alam, Setia Alamsari dan Setia EcoHill.

“Hartanah yang mengambil bahagian Johor termasuk Setia Tropika, Setia Eco Gardens, Bukit Indah dan Setia Sky 88,” kata kenyataan itu.