BDB kaji tiga sektor bagi tingkatkan keuntungan syarikat

in Bisnes by
Mohd Iskandar Dzulkarnain dalam sidang akhbar mengenai Prestasi Kewangan Suku Kedua 2022 BDB di VE Hotel & Residence, Kuala Lumpur pada Khamis.

BINA Darulaman Bhd (BDB) dalam usaha mengenal pasti dan menentukan kebolehlaksanaan untuk membawa sektor pengeluaran makanan, tenaga dan telekomunikasi ke dalam portfolio bagi meningkatkan lagi daya tahan dan mengekalkan keuntungan syarikat.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli berkata, ketiga-tiga sektor itu berupaya untuk dijadikan sebagai perniagaan teras BDB sekiranya ia dapat membuahkan hasil yang positif.

Menurutnya, pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021 menunjukkan perniagaan teras syarikat berada dalam keadaan berisiko tinggi disebabkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, pandemik juga menunjukkan bahawa sektor tertentu kekal berdaya tahan sepanjang fasa pandemik seperti sektor pengeluaran makanan, tenaga dan telekomunikasi.

“Secara peribadi, kita nak sektor-sektor ini menjadi perniagaan teras syarikat. Cuma dalam proses analisis dan penelitian ini, dengan keadaan kelangsungan perniagaan, pasca Covid-19 dan sebagainya, kita perlu berhati-hati.

“Bagaimanapun, sekiranya ketiga-tiga sektor tersebut memberangsangkan dan menunjukkan impak yang positif, mengapa tidak?” katanya ketika sidang media Pembentangan Laporan Kewangan Suku Kedua BDB di Kuala Lumpur, pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Iskandar Dzulkarnain memaklumkan, BDB berjaya mencatatkan keuntungan RM1.13 juta pada suku tahun kedua 2022, dengan peningkatan 64 peratus berbanding suku terdahulu.

Jelas beliau, beroperasi dalam keadaan perniagaan seperti biasa, pendapatan suku kedua 2022 syarikat pelaburan itu meningkat kepada RM51.62 juta berbanding RM31.46 juta pada suku sebelumnya.

“Hasil BDB turut meningkat sebanyak 23 peratus berbanding RM41.93 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2021.

“Prestasi kewangan syarikat yang semakin positif dan merekodkan peningkatan adalah disebabkan penyambungan sepenuhnya aktiviti perniagaan dan sumbangan hasil yang tinggi daripada segmen pembinaan jalan raya dan inisiatif daripada Bahagian Pembangunan Hartanah yang berjaya disiapkan.

“Bahagian kejuruteraan, pembinaan dan kuari (ECQ) BDB turut mencatatkan hasil lebih tinggi iaitu RM31.62 juta berbanding RM19.63 juta pada suku sebelumnya, dengan peningkatan sebanyak 61 peratus,” ujarnya.

Tambah beliau, BDB kini sedang melaksanakan projek-projek pembinaan dan pembangunan hartanah berskala besar seperti Penyelenggaraan Jalan Negeri, Menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang dan projek-projek pembangunan hartanah seperti Darulaman Lagenda dan Aman Perdana.

“Dengan rekod prestasi BDB yang baik di mana kami berjaya menyiapkan projek tepat pada masanya dan mengikut peruntukan serta bajet yang diberikan merupakan satu petanda baik terhadap keupayaan untuk kami mendapatkan lebih banyak kontrak pada separuh kedua 2022 dan 2023.

“Kami juga telah melaksanakan projek yang boleh dikatakan unik dan di luar daripada perniagaan teras syarikat iaitu Langkawi Designer Premium Outlet, yang akan memberi nilai tambah kepada Bahagian Pembangunan Hartanah dan ECQ,” ujarnya.

-tamat-