Pusat urus sisa berjadual lewat siap, PIJ tidak terima pajakan

in Edisi Johor by
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai aktiviti jabatan/agensi kerajaan negeri Johor tahun 2021 Siri 1.

JOHOR BAHRU – Pusat Pengurusan Sisa Berjadual Johor lewat siap mengakibatkan Perbadanan Islam Johor (PIJ) tidak menerima hasil pajakan tahun 2019 dan 2020 berjumlah RM425,000.

Malah, penamatan kontrak pajakan menyebabkan PIJ perlu membayar saguhati berjumlah RM1 juta.

Perkara tersebut antara yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai aktiviti jabatan/agensi kerajaan negeri Johor tahun 2021 Siri 1 pada Khamis.

Selain itu, Ketua Audit Negara mendapati Perbadanan Johor (JCorp) masih belum mempunyai pelan perancangan pembangunan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat II di Zon 5 seluas 86.81 hektar (214.5 ekar).

Di samping itu, penjualan tanah seluas 101.17 hektar (250 ekar) di Taman Perindustrian Pengerang masih tertangguh dan penglibatan bumiputera bagi pembangunan Taman Perindustrian Bakri Fasa Dua tidak dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).

“Dasar kerajaan negeri telah tercapai dengan wujudnya pembangunan berasaskan wilayah iaitu hab perabot di Muar, hab industri hiliran minyak dan gas di Pangerang dan hab industri berat di Tanjung Langsat.

“Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) memperoleh anggaran hasil cukai harta sejumlah RM30.51 juta setahun sebagai pulangan hasil dari pembangunan dua kawasan industri yang telah beroperasi iaitu Taman Perindustrian Bakri dan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat,” katanya.