Bebaskan Malaysia daripada rasuah

in Pojok by
Gambar hiasan – Foto123RF

RASUAH berlaku kerana ada pihak memberi dan ada pihak yang menerima. Bertepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Bila ada permintaan, maka ada penawaran atau begitulah sebaliknya.

Rasuah tidak akan berlaku jika salah satu atau kedua-dua pihak mengatakan tidak kepada rasuah. Punca berlakunya pemberian rasuah juga kerana wujudnya ruang dan peluang yang terbuka luas, selain sikap tamak dan tidak berintegriti.

Malaysia merekodkan penurunan dalam indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dua tahun berturut-turut apabila jatuh lima anak tangga kepada kedudukan 62 daripada keseluruhan 180 negara.

Ia menunjukkan rasuah terus membara dan mencengkam kehidupan rakyat, malah tidak salah jika dikatakan semakin sukar dikawal. Namun, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya perlu terus menyusun langkah untuk menggempur rasuah di negara ini.

Pada Khamis, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.

Di sebalik pelancaran buku tersebut, ia memberi isyarat bahawa usaha #RasuahBusters membawa penentangan terhadap rasuah adalah amat menyeluruh yang harus diperangi di semua peringkat.

Sementara itu, Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub menegaskan rasuah kini boleh diletakkan sebagai musuh nombor satu negara dan harus diperangi sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat demi mempertahan maruah Malaysia tercinta.

Jelas beliau, budaya jijik rasuah dan salah laku kuasa menyebabkan pelbagai kemudahan yang sepatutnya disediakan kepada rakyat tidak dapat disempurnakan kerana berlakunya isu ketirisan.

Justeru, katakan tidak kepada pemimpin yang korup, sementelah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan tidak lama lagi seusai pembentangan bajet pada 10 Oktober ini. Pilihlah pemimpin yang benar-benar bersih, jujur dan amanah untuk memimpin rakyat serta negara.

Dan sebagai pemimpin pula, jangan sesekali menggadai prinsip dan maruah diri dengan meminta atau menerima rasuah. Jangan khianati harapan dan kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan.

Semoga seluruh rakyat Malaysia dapat berganding bahu menyumbang tenaga membersihkan negara daripada rasuah walau di sudut mana pun kita berada. Bangkitlah selamatkan negara daripada terus menuju kehancuran akibat rasuah.