Lahirkan hufaz dari Kelantan

in Edisi Kelantan by
Pembinaan laluan masuk jalan ke Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh. (Gambar kecil Pauzi) -Foto Ihsan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh

KUALA KRAI – Cadangan pembinaan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh di Kampung Lepan Jenut, Mukim Manik Urai, di sini, dijangka melahirkan lebih ramai hufaz dari Kelantan.

Pengasas Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh, Pauzi Awang berkata, cadangan pembinaan sekolah tahfiz berkenaan dianggarkan menelan belanja keseluruhan berjumlah RM10 juta.

Katanya, pada peringkat awal, pihaknya menyasarkan kutipan RM100,000 bagi pembinaan laluan masuk berbatu dari jalan utama Kuala Krai-Gua Musang ke lokasi tahfiz sepanjang 600 meter dan binaan longkang.

“Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh tersebut akan dilengkapi dengan bangunan sekolah, masjid, asrama, dewan makan, rumah khat, galeri khat dan ruang tamu.

“Maahad ini berkonsepkan pembelajaran teknikal dan vokasional yang dijangka akan melahirkan lebih ramai hufaz. Lebih istimewa ialah mereka ini mahir dalam seni khat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurut beliau, pembinaan akan dilaksanakan di atas tanah yang diwakafkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) seluas lebih satu hektar dan dapat menampung antara 350 hingga 450 pelajar serta kakitangan pada satu-satu masa.

“Sasaran pembinaan tahfiz dimulakan pada pertengahan tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2025,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Faqeh, Bank Islam 0307 2010 1407 96 atau hubungi 019-9125 160 Tengku Abdullah Tuan Kechik untuk maklumat lanjut.