[VIDEO] Lebih 200 individu dakwa ditipu pemaju

in Edisi Kelantan by
Individu mendakwa ditipu pemaju berkait dengan pembelian rumah kos rendah di beberapa kawasan di negeri ini berhimpun secara aman menuntut hak mereka di Limbat, Kota Bharu.
Teo Lian Fia
Siti Norihan
Mohd Sharif

KOTA BHARU – Lebih 200 individu mendakwa ditipu pemaju dalam urusan pembelian rumah kos rendah di beberapa kawasan di negeri ini.

Penipuan tersebut disedari selepas timbul beberapa keraguan sehingga ada di antara mereka kehilangan hak milik rumah walaupun sudah membuat pembayaran.

Difahamkan, ia melibatkan projek perumahan di Salor, Peringat, Limbat, Badang termasuk Kuala Krai dan Jeli.

Mangsa, Siti Norihan Alias, 40, berkata, rumah tersebut dibeli pada tahun 2011 dan pembayaran bulanan dibuat sehingga tahun 2013 sebelum pemaju mengarahkan pembayaran ditangguhkan buat sementara.

**media[1921678]**

“Penangguhan itu atas alasan perlu tunggu rumah siap dahulu barulah pembayaran sebanyak RM250 sebulan boleh dibuat semula.

“Saya dijanjikan rumah tersebut akan siap dalam tempoh setahun namun menyedihkan bila ia siap, menjadi milik orang lain,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Dia yang merupakan suri rumah berkata, unsur penipuan itu disedari selepas membuat semakan dan mendapati rumah berkenaan dibeli secara bertindih dan sudah dijual beberapa kali kepada individu berbeza.

Menurutnya, apabila semakan dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian mendapati status tapak itu masih untuk kegunaan pertanian.

Siti Norihan berkata, rumah tersebut dibeli melalui koperasi namun apabila semakan dilakukan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mendapati ia sudah ditutup.

Ujarnya, SKM memaklumkan koperasi yang dimiliki oleh pemaju itu mendakwa mereka telah memulangkan semua duit kepada ahli.

“Namun sehingga sekarang kami tidak menerima sebarang bayaran yang dimaksudkan,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Sharif Ibrahim, 58, mendakwa penipuan itu disedari apabila mendapati bilik air rumah yang dibeli itu sudah masuk ke kawasan tanah milik orang lain.

**media[1921679]**

“Saya dapat tahu selepas dimaklumkan oleh pemilik tanah yang membuat kerja-kerja pengukuran sempadan.

“Memang terkejut dengan perkara ini kerana saya sudah membuat bayaran sebanyak RM235 setiap bulan.

“Sebenarnya dari awal proses pembayaran sudah ada perasaan ragu-ragu kerana setiap bayaran adalah ke akaun milik persendirian disyaki isteri kepada pemaju, malah ada antara kami yang mendakwa terus membayar kepada pemaju itu sendiri,” katanya.

Dia berkata, daripada 50 buah rumah yang dibina di Limbat di sini hanya lima sahaja yang dihuni selebihnya terbiar.

Teo Lian Fia, 60, yang sudah membuat bayaran penuh sebanyak RM42,500 merayu pihak kerajaan campur tangan dalam membantu menyelesaikan masalah tersebut.

**media[1921677]**

Katanya, dia sudah tidak sanggup melihat rumah pertama yang dibeli tidak dapat digunakan untuk berlindung.

Sementara itu usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak pemaju menemui jalan buntu apabila gagal dihubungi.