Eksport koko catat RM4.4 bilion

in Bisnes by
Jeck Seng (kiri) pada Majlis Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di Iskandar Puteri pada Isnin.

EKSPORT bagi koko dan produk berasaskan koko negara terus berkembang apabila nilai RM4.4 bilion bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, nilai tersebut meningkat 11.5 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama pada tahun lepas.

Katanya, peningkatan yang direkodkan itu memberi keyakinan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk meletakkan sasaran eksport komoditi koko sebanyak RM7 billion sehingga Disember tahun ini.

Beliau berkata, prestasi positif ini meningkatkan keyakinan kementerian bagi mencapai sasaran nilai eksport bagi koko dan produk berasaskan koko berjumlah RM7 bilion hujung tahun lalu.

“Pada tahun 2020, KPPK merekodkan nilai eksport bagi koko dan produk koko berjumlah RM6.26 bilion dan meningkat kepada RM6.87 bilion pada tahun lepas.

“Peningkatan permintaan pasaran eksport ini bagi koko dan produk hilirannya menjadikan sasaran RM7 bilion pada suku keempat tahun ini mampu dicapai,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Jeck Seng berkata, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko negara.

“Kedua-dua lokasi ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir serta jaringan domestik yang sangat baik.

“Berikutan koko telah lama menjadi salah satu komoditi utama yang dikendalikan oleh pelabuhan berkenaan malah makmal ini telah siap diubahsuai pada bulan lalu dan akan beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, hab perdagangan koko di PTP dan PPG dilengkapi dengan sebuah makmal fasilitasi bagi kemudahan saringan bagi mengesan perosak buah koko dan khidmat verifikasi pematuhan keperluan pengimportan biji koko.

“Hab Perdagangan Koko diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan.

“Penubuhan hab ini diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan Pelabuhan Singapura,” katanya.