Kerjasama Malaysia-China capai tahap baharu

in Bisnes by
Ouyang YuJing mengiringi Radzi untuk sambutan ulang tahun ke-73 penubuhan Republik Rakyat China di sebuah hotel di sini hari ini. – Foto Bernama

KERJASAMA ekonomi dan perdagangan antara China dan Malaysia mencecah paras tertinggi baharu, dengan jumlah dagangan dua hala bagi lapan bulan pertama tahun ini mencatat AS$131.2 bilion.

Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, ini merupakan peningkatan sebanyak 21.2 peratus tahun ke tahun.

Berucap pada sambutan Hari Kebangsaan ke-73 China, di sini pada Isnin, beliau berkata, daripada RM87.4 bilion pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan Malaysia pada separuh pertama tahun ini, sumbangan China berjumlah RM48.6 bilion atau 55.6 peratus daripada jumlah FDI.

Duta itu berkata, menerusi usaha sama kedua-dua pihak, hubungan China dan Malaysia menyaksikan banyak pencapaian pada tahap lebih cepat, termasuk hubungan peringkat tinggi yang semakin kukuh.

Beliau yakin trend itu akan terus berkembang secara sihat dan stabil.

Menurutnya semasa lawatan Ahli Majlis Negara China dan Menteri Luar, Wang Yi ke Malaysia Julai lalu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama ke arah membina komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.

“Ini memperkukuh lagi perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia. Ia akan membuka prospek kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara,” katanya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mewakili kerajaan Malaysia pada majlis resepsi itu.

Turut hadir Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun; Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing dan kira-kira 600 tetamu.

Ouyang berkata, pertukaran antara penduduk kedua-dua negara juga menyaksikan pencapaian baharu.

“Walaupun wujud kesan negatif pandemik, kemajuan telah dicapai dalam penghantaran pelajar Malaysia ke China untuk menyambung pengajian, hasil usaha sama kedua-dua pihak. Setakat ini, lebih 1,000 pelajar Malaysia kembali semula ke China,” katanya.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-48 penubuhan hubungan diplomatik China-Malaysia, manakala tahun depan merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif antara China dan Malaysia. – Bernama