Maxis Awards kembali

in Bisnes by
Maxis menganjurkan Maxis Awards untuk mengiktiraf PKS yang memberikan impak yang positif kepada negara.

MAXIS Berhad (Maxis) kini membuka pusingan ketiga Maxis Awards dan menerima cadangan sehingga 11 Oktober 2022.

Maxis dalam satu kenyataan berkata, untuk pusingan kali ini, Maxis bekerjasama dengan SME and Entrepreneurs Business Awards (SEBA) iaitu platform tahunan mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS), konglomerat dan usahawan yang telah menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan positif.

“Maxis Awards bertujuan untuk memperkasa, mengiktiraf dan menyokong perusahaan sosial Malaysia yang mempunyai inisiatif serta sumbangan cemerlang dalam memacu impak positif kepada rakyat.

“Maxis komited untuk memupuk inisiatif tempatan yang mampan dan memacu negara daripada idea sehingga pelaksanaan, dengan bimbingan dan sokong perusahaan daripada pakar teknikal Maxis serta penyelesaian seperti eDagang, IoT, awan, suara dan kesalinghubungan rangkaian. Selain itu, Maxis akan membantu dari segi pemasaran dan publisiti projek,” jelas kenyataan itu pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, cadangan bagi Maxis Awards akan dinilai oleh panel hakim Maxis melalui proses tersendiri.

“Syarikat yang disenarai pendek akan membentangkan projek mereka kepada para hakim dan pemenang harus memenuhi kriteria berdasarkan inovasi, peranan teknologi, nilai tambah kepada masyarakat baik dari segi ekonomi, sosial, dan atau persekitaran.

“Sejak pelancaran Maxis Awards, Maxis telah mengiktiraf empat perusahaan yang mengemukakan inisiatif bertemakan hijau dan penyelesaian teknologi keselamatan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran, Maxis, Loh Jeh Kiat berkata, sejak pelancaran Maxis Awards tahun lepas, Maxis mendapat inspirasi daripada minda inovatif yang mempunyai keinginan yang kuat untuk memberi impak positif dan mampan kepada masyarakat.

“Kami mahu meneruskannya dan menggalakkan perusahaan di luar sana untuk mengemukakan cadangan mereka.

“Kami juga teruja untuk bekerjasama dengan SEBA untuk pusingan ini, sekali gus dapat berkolaborasi dan berusaha demi mencapai aspirasi bersama,” katanya.

Bagi Pengasas SEBA dan Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, Nitesh Malani berkata, SEBA dan Maxis berkongsi matlamat yang sama untuk mengiktiraf pengusaha tempatan yang cemerlang dan menyokong mereka untuk lebih maju serta berjaya.

“Maxis menginspirasikan kami melalui komitmen mereka dalam memupuk inovasi digital dan menyokong negara untuk terus maju dan cemerlang. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Maxis dan berharap kerjasama ini mempercepatkan pertumbuhan usahawan dalam Malaysia yang baharu dan digital,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Maxis Awards dan cara menghantar cadangan, kunjungi https://www.maxis.com.my/en/maxis-awards/.

Untuk maklumat lanjut mengenani SEBA, layari https://seba.asia.