Pengetua tawar RM2,000 jika semua A+ SPM, STPM

in Edisi Terengganu by
Nathrah (dua dari kiri) bersama Nawi (tiga dari kiri) ketika menyampaikan anugerah kepada pelajar sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Interaksi Akademik SMK Tengku Mahmud di Besut pada Isnin.

BESUT – Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud menawarkan hadiah lumayan wang tunai RM2,000 bagi setiap pelajar yang mendapat keputusan cemerlang gred A+ bagi semua mata pelajaran diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengetua Cemerlang, Nathrah Awang Teh berkata, tawaran itu sebagai motivasi bagi membangkitkan semangat calon SPM dan STPM 2022 yang akan menduduki peperiksaan awam itu tidak lama lagi.

“Selaku pengetua, saya mencabar pelajar untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Sebab itulah saya berani menawarkan hadiah lumayan kepada mereka yang mendapat semua A+ dalam peperiksaan SPM dan STPM (merit 4.0).

“Kita yakin pelajar kita mampu memberikan komitmen terbaik berdasarkan kesungguhan dipamerkan mereka dalam pelbagai bidang sama ada akademik mahupun kokurikulum,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Interaksi Akademik SMK Tengku Mahmud pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Datuk Nawi Mohamad.

Pada majlis itu, Nawi turut menyumbangkan RM5,000 kepada PIBG sekolah bagi membantu kemajuan sekolah dalam aspek kokurikulum serta pembentukan sahsiah murid.

Nathrah berkata, program itu diadakan bagi meraikan kejayaan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 yang mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan pertengahan tahun 2022 serta peperiksaan percubaan semester 2 pelajar Tingkatan 6 bagi tahun 2022.

Beliau berkata, turut diraikan ialah 29 calon SPM 2021, tiga pelajar cemerlang (aliran sains tulen) STPM 2021 serta lima pelajar yang menerima anugerah khas inovasi yang menjuarai pertandingan reka cipta inovasi antarabangsa (iCan 2022) di Kanada.

Selain itu, pihak sekolah turut berbesar hati menyampaikan anugerah kepimpinan pelajar, anugerah khas pengetua, anugerah khas PIBG, anugerah khas Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Tengku Mahmud (TMESA), angerah khas pra-u serta anugerah tokoh pelajar bagi pelajar lelaki dan perempuan sekolah itu.