'Terima kasih MPKB-BRI' – Nik Abduh

in Edisi Kelantan by
Sebelum ini tular di media sosial surat permohonan daripada Nik Mohamad Abduh memohon perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa kawalan lalu lintas.
Nik Mohamad Abduh (empat dari kanan) bersama sebahagian daripada pemimpin politik yang hadir ke majlis perkahwinan anaknya di Pulau Melaka pada Sabtu.

KOTA BHARU – Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) yang membantu melancarkan majlis perkahwinan anaknya di Pulau Melaka, di sini pada Sabtu.

Ucapan terima kasih itu dizahirkan anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdullah Aziz Nik Mat menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Isnin.

“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat.

“Saya akhirnya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada PDRM, MPKB-BRI dan JKR yang telah menerima permohonan saya untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat kami terutama dalam memastikan keselesaan pergerakan dan kelancaran lalu lintas yang agak sesak pada waktu puncak,” katanya.

**media[1922745]**

Majlis tersebut dihadiri hampir 10,000 tetamu yang dihidangkan dengan 30 kawah gulai.

Ia juga dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin politik dari semua parti iaitu Pas, UMNO dan Amanah.

Sebelum ini tular di media sosial surat permohonan daripada Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) itu memohon perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa kawalan lalu lintas.

Media sebelum ini melaporkan MPKB-BRI mengesahkan menerima permohonan dari Ahli Parlimen Bachok itu.