Bajet 2023: Moratorium tanpa faedah, kurang caruman KWSP majikan

in Khas by
Abdul Halim (dua dari kiri) ketika sidang Akhbar MTEM dan Gabungan NGO Bumiputera di ibu negara pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa kerajaan memberikan moratorium hutang tanpa faedah ke atas semua jenis pinjaman menerusi Bajet 2023.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Abdul Halim Husin berkata, ini kerana Bajet 2023 perlu benar-benar fokus kepada membantu rakyat yang cukup terkesan disebabkan pandemik Covid-19.

“Moratorium Hutang Tanpa Faedah perlu diberikan ke atas semua jenis pinjaman termasuk kredit kecuali hutang kad kredit di bawah kawalan semua Kementerian bermula daripada 1 Oktober hingga 31 Disember 2022.

“Ini sekiranya jumlah hutang pokok keseluruhannya tidak lebih daripada RM1,000,000.00 termasuk mereka yang ada tunggakan melebihi 180 hari,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, pihaknya juga mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Majikan untuk tempoh Januari-Disember 2023 sebagai langkah persediaan menghadapi keadaan kemelesetan ekonomi yang dijangka lebih buruk tahun depan.

Ujarnya, meskipun menyedari langkah itu akan mengurangkan simpanan caruman KWSP pekerja, pertimbangan wajar dibuat demi kelangsungan sektor pekerjaaan dan mengurangkan jumlah pengangguran.

“Sebab itu kita sebut pengurangan KWSP sepanjang 2023 sahaja. Cadangan ini mengambil kira aliran tunai pada masa depan kerana pada 2023 kita jangka akan berlaku cabaran hebat terhadap pekerjaan dan banyak perniagaan akan gulung tikar.

“Jadi kita perlu kurangkan perbelanjaan supaya perniagaan dapat terus bertahan. Apabila perniagaan stabil majikan tidak perlu buang pekerja dan pengangguran di Malaysia tidak meningkat,” katanya.

Pada masa sama, MTEM juga mahu kerajaan memberi perhatian terhadap perlindungan daripada kemuflisan dengan mencadangkan Pindaan Seksyen 5(1)a Akta Insolvensi menaikkan had RM100,000 kepada RM1,000,000 bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 31 Disember 2025.

“Seksyen 466(1)(a) Akta Syarikat yang sedia ada dipinda daripada RM50,000 (RM10,000 dulu sebelum Covid-19) dipinda dengan menaikkan jumlah kepada RM500,000,” ujarnya.

Selain itu, turut dicadangkan agar dasar perolehan kerajaan diberikan untuk Bumiputera sebanyak 90 peratus manakala perolehan GLC sebanyak 50 peratus untuk Bumiputera daripada segi nilai dibawah kerangka Agenda Bumiputera Genuine dalam semua bidang.

MTEM juga mahu peruntukan untuk semua agensi pengupayaan Bumiputera seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditambah 30 peratus khusus untuk pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera untuk Rancangan Malaysia Ke-12 dan 13.

Kerajaan juga dicadang memperuntuk RM200 juga bagi kempen-kempen nasional seperti “Belilah Barangan Malaysia’, ‘Buy Malaysian First’ dan ‘Buy Muslim First’ sebagai agenda pembangunan rantaian bekalan Bumiputera.