Kutip 315 kg sisa sampah sempena World CleanUp Day 2022

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by
Program berkenaan berjaya mengumpulkan 315 kilogram sisa sampah.

PORT DICKSON – Aktiviti pembersihan Pantai Saujana disini sempena sambutan World CleanUp Day 2022 pada Sabtu berjaya mengumpulkan 315 kilogram (kg) sisa sampah.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, pelbagai sisa sampah dikutip dan paling banyak adalah puntung rokok sebanyak 8,356.

“Selain itu 398 beg plastik, cebisan pinggan dan cawan polisterin (320), cawan minuman plastik (255), penutup botol minuman plastik (247), botol minuman plastik (236), penyedut minuman plastik (222) dan lain-lain sisa (120) dikumpulkan.

Pembuangan sampah merata-rata amat membimbangkan dan memberikan persepsi buruk tentang sikap masyarakat dalam menjaga kebersihan dan keindaham alam sekililing.

“Ia turut memberi impak negatif kepada hidupan marin terutamanya puntung rokok dan plastik yang turut menyumbang kepada pencemaran sisa mikroplastik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk memberi kerjasama dengan menggunakan kemudahan fasiliti tong sampah yang disediakan secara percuma oleh SWM Environment bagi melupuskan sisa yang dijana ketika berkunjung ke pantai.

Sementara itu, dalam program berkenaan, SWM Environment bersama agensi kerajaan dan swasta bergabung tenaga menunaikan tanggungjawab sosial dengan melakukan tugas pembersihan pantai Port Dickson bersempena sambutan World CleanUp Day 2022.

Mohd Norlisam berkata, program pembersihan pantai ini turut memfokuskan kepada misi menjayakan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersih, mampan dan sejahtera.

“Di samping itu, kita ingin mewujudkan masyarakat yang membudayakan amalan kebersihan bagi kesejahteraan hidup serta kelestarian alam sekitar,” katanya.