Pas tak jual perjuangan dengan harga RM90 juta: Abdul Hadi

in Politik by
Abdul Hadi Awang
Tangkap layar catatan Abdul Hadi menerusi Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook beliau pada Selasa.

SHAH ALAM – Pendukung perjuangan Islam seperti Pas tidak menjual perjuangannya dengan harga RM90 juta atau pangkat dan kedudukan semata-mata.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas merupakan kesinambungan perjuangan Islam yang bertali arus berjuang, sebagaimana yang dijanjikan wujudnya kumpulan sepertinya oleh ALLAH SWT selagi dunia belum kiamat.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, seandainya benar Pas menerima dana RM90 juta, sudah pasti parti berkenaan boleh menguasai negara sepenuhnya pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

“Jika benar UMNO yang menyogok RM90 juta, (dia) sangat bodoh kerana melakukan suatu perkara yang boleh membunuh dirinya sendiri, sehingga menjatuhkan kerajaannya di negeri yang tidak kuat Pakatan Harapan (PH) dan UMNO berada dalam keadaan lebih kuat.

“Dengan RM90 juta kalau benar-benar ada, pasti Pas juga lebih mudah meranapkan PH yang banyak duit perbelanjaan untuk media sosial bagi menyebarkan pembohongan dengan meluas,” dakwanya dalam catatan Minda Presiden Pas di Facebook beliau pada Selasa.

Menerusi tulisan itu, Abdul Hadi sekali lagi menyangkal dakwaan kononnya parti itu menerima rasuah RM90 juta daripada UMNO seperti yang dilaporkan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, Pas juga tidak mampu mewujudkan media sosial bagi menjawab (dakwaan itu) kerana kosnya terlalu mahal, apatah lagi untuk menyiarkan fitnah, menipu dan berbohong besar.

Abdul Hadi menambah, sekiranya Pas benar-benar mempunyai sejumlah duit, sudah pasti Pas tidak akan membocorkannya walaupun sedikit.

“Maka sekiranya ada sumbangan sebanyak RM90 juta itu, sudah pasti akan dibelanjakan dengan sempurna dan takkan disia-siakan. Bahkan, jika dilaburkan, maka pusingannya sudah menjadi lebih daripada RM900 juta.

“Sebelum dengar kisah dongeng kononnya Pas mendapat RM90 juta, (sebenarnya bagi Pas) memadai dengan (adanya) duit sumbangan ahli Pas yang majoritinya tidak kaya, hanya sedikit sahaja orang berada yang menyumbang kepada Pas, malah itu pun tidak sampai jumlahnya sejuta ringgit.

**media[1924013]**

“Namun, Pas boleh bertanding dalam pilihan raya hasil derma ahlinya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, dan kebanyakannya bertanding di kawasan UMNO,” ujarnya.

Menurut beliau, secara tiba-tiba Pas mampu menawan tiga negeri dan berada dalam kerajaan pusat dengan langkah mengajak UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pihak-pihak lain bersama menumbangkan kerajaan PH yang rapuh.

Abdul Hadi menjelaskan, ahli-ahli Pas yang sebenar mengetahui tentang pengorbanan yang dilakukan kerana menegakkan Islam itu memerlukan sumbangan ikhlas dan duit yang halal lagi berkat.

“Wakil rakyat Pas pula diwajibkan membuat potongan wang untuk diserahkan kepada partinya.

“Semua lapisan ahli Pas memberikan sumbangan sehingga mereka yang termiskin daripada kalangan petani, nelayan dan buruh kasar menyumbang dengan penuh keikhlasan.

“Bahkan, ada ahli Pas yang menjual tanah dan sebagainya kerana ingin membantu bayaran deposit calon yang bertanding di kawasannya disebabkan calonnya tidak berduit,” kata beliau.

Pada masa sama, Abdul Hadi menegaskan, Pas mentarbiah ahlinya agar membina kekuatan diri dengan iman atau akidah yang lebih lengkap daripada sekadar berintegriti sepertimana yang diuar-uarkan oleh pihak yang lain.

Jelasnya, kekuatan diri yang berkonsepkan iman menyebabkan seseorang itu bersedia untuk mengorbankan harta dan jiwa raganya sendiri.

“Hal ini sekali gus menjadikannya tidak bergantung kepada apa jua sogokan, khususnya sumbangan yang menjatuhkan maruah diri, sama ada dalam politik atau urusan lain.

“Selain itu, Pas juga mendidik ahlinya bahawa haram menerima sogokan yang bercirikan rasuah, atau menjual akidah perjuangan kerana tiada keberkatannya.

“Tanpa keberkatan, maka tidak akan diperoleh pertolongan ALLAH SWT yang menjadi harapan yang sebenar,” ujarnya lagi.