Terengganu sedia hadapi banjir

in Edisi Terengganu by
Hanafiah

KUALA TERENGGANU – Seramai 2,779 pegawai dan anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi di Terengganu kini berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir susulan peralihan Monsun Timur Laut.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, jumlah kekuatan melibatkan 246 pegawai dan 2,533 anggota itu akan digerakkan pada bila-bila masa sekiranya banjir melanda negeri ini.

“Kami di peringkat jawatankuasa bencana negeri dan daerah telah mengadakan persiapan lebih awal untuk hadapi banjir, semua kelengkapan sama ada di darat mahupun sungai sudah berada dalam keadaan kesiapsiagaan,” katanya di sini pada Selasa.

Menurutnya, antara pasukan penyelamat terlibat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Beliau berkata, pelbagai aset untuk digunakan membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir seperti bot, lori, kenderaan pacuan empat roda serta ambulans juga sudah bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Hanafiah yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu berkata, lebih 1,500 orang sukarelawan terdiri daripada Jabatan Amal, Kelab 4X4, Radio Amatur dan badan bukan kerajaan (NGO) turut bersedia menghulurkan bantuan.

“Musim tengkujuh merupakan situasi yang berlaku setiap tahun jadi kerajaan sentiasa buat persediaan lebih awal termasuk memasang 187 stesen hidrologi pemantauan banjir yang berfungsi sebagai amaran awal apabila paras sungai mencecah tahap bahaya.

“Sekarang, apa yang kita harapkan adalah penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan berisiko banjir supaya dapat berpindah lebih awal bagi mengelak daripada terperangkap di dalam air,” katanya.

Jelas Hanafiah, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta sebagai persediaan banjir seperti pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelekat.

“Sebanyak 580 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Terengganu yang boleh menampung seramai 147,600 mangsa banjir juga turut disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.