Empat syarat NGO boleh jadi ‘kuasa’ banteras rasuah

in Khas by
Program Kompas Rasuah Busters bersama (dari kiri) moderator, Anim Ezati Rizki; Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memberikan empat syarat sekiranya badan bukan kerajaan (NGO) mahu menjadi ‘kuasa’ bagi membanteras rasuah.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, syarat pertama ialah kesungguhan NGO terbabit dalam membanteras rasuah dalam negara ini.

“Bukan isu sipi-sipi atau isu pinggiran tetapi isu paling asas terutamanya dalam soal pentadbiran negara.

“Yang kedua, NGO boleh menjadi kuasa yang kuat dalam penentangan rasuah kalau ia mampu menjadi pemberi maklumat dan melaporkan dengan meluas di semua peringkat sama ada awam atau swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Parahnya Rasuah: Menjunjung Titah Sultan Perak’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

**media[1926284]**

Turut menjadi panel, Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom manakala Anim Ezati Rizki bertindak sebagai moderator.

Tegas Mohd Azmi, syarat yang ketiga ialah dengan penglibatan NGO dalam pelbagai platform diskusi mengenai undang-undang dan penguatkuasaan anti rasuah.

“Bukan semua NGO tetapi NGO yang betul-betul berwibawa, mempunyai kekuatan intelektual dan terdapat orang yang berpengalaman. Mereka perlu dilibatkan. NGO ini akan menjadi kuasa ketiga yang kuat.

“Yang keempat, kalau NGO benar-benar mahu menjadi kuasa yang boleh menghalang rasuah ialah dengan mengorganisasikan masyarakat kita supaya menerapkan anti rasuah dan tidak berkompromi tentangnya.

“Jangan berhenti walaupun (adanya) persepsi bahawa rasuah tidak boleh dielakkan tetapi NGO mesti berperanan (dalam menghalang rasuah). Dengan empat syarat ini, saya yakin NGO boleh memainkan peranan besar,” jelasnya.