JBPM Kelantan siap sedia jika PRU15 musim banjir

in Edisi Kelantan by
Zainal (kiri) bersama Muhaday (dua dari kiri) menyampaikan pingat kerajaan Thailand kepada pegawai JBPM Kelantan pada Majlis Perhimpunan Bulanan September 2022 di Dewan Utama JBPM Tunjong, Kota Bharu pada Rabu.

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan siap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim banjir.

Pengarahnya, Zainal Madasin berkata, meskipun ia perkara baharu namun pihaknya sentiasa meletakkan aras kesiapsiagaan pada tahap tertinggi jika Dewan Rakyat dibubarkan pada tempoh berkenaan.

“PRU musim banjir sedikit berbeza apabila fokus kami bukan sahaja melibatkan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir, kebakaran dan kemalangan sahaja.

“Pada masa yang sama kami perlu memberikan tumpuan kepada penugasan melibatkan proses pengundian dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan September 2022 di Dewan Utama JBPM Tunjong di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Operasi Bencana Daerah Narathiwat, Thailand, Muhaday Nithatnawaday Chakul.

Beliau berkata, jika keadaan mendesak bantuan dari negeri-negeri yang tidak terlibat dengan banjir akan dipohon bagi melancarkan penugasan.

Menurutnya, pada masa sama 2,200 anggota sukarelawan bomba akan turut dikerah selain dibantu oleh 65 pesara bomba.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa jentera mereka sanggup meredah banjir dan hujan lebih sekiranya PRU15 diadakan pada akhir tahun ini.

Kenyataan tersebut dengan harapan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan PRU15 dalam masa terdekat.