Khaled Nordin tempelak kenyataan Muhyiddin

in Politik by
Khaled (kiri) dan Muhyiddin.

SHAH ALAM – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak kenyataan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan lambat bertindak mengambil saranan daripada badan tersebut berhubung pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah lupa bahawa sebahagian besar masalah yang dihadapi kerajaan pada masa kini adalah diwarisi daripada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN).

“Jadi, janganlah bersikap baling batu sembunyi tangan. Saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota kerajaan serta kakitangan awam sedang mencuba memberikan yang terbaik bagi berhadapan dengan segala masalah negara,” katanya dalam siaran di Facebook rasminya pada Rabu.

Pada Selasa, Muhyiddin berkata bahawa beliau kecewa dengan kerajaan kerana lambat melaksanakan beberapa cadangan penting membabitkan pemulihan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, MPN sudah mengemukakan 95 saranan untuk dipertimbangkan kerajaan dengan 69 daripadanya membabitkan isu sosio-ekonomi dan 26 berkaitan tadbir urus.

Dalam pada itu, ulas Mohamed Khaled, Muhyiddin harus ingat bahawa dirinya juga sebahagian daripada kerajaan dan perlu bertindak dalam semangat yang kolektif.

“Sikap menuding jari ini jelas menunjukkan beliau hanya mampu menyalahkan orang lain atas kelemahan cadangan dan hasil kerjanya.

“Beliau berhak mengemukakan segala pandangan terhadap kerajaan. Terpulang kepada kerajaan untuk mempertimbangkannya.

“Dan kerajaan mempunyai pelbagai aspek yang harus diambil kira. Hanya kerana cadangan tersebut datang daripada MPN maka tidak semestinya dilaksanakan secara automatik,” ujarnya.