Pendaki lima gunung wajib guna khidmat malim gunung

in Edisi Terengganu by
Ariffin (berdiri, lima dari kiri) bersama penaja Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’22) dalam program yang diadakan di Wisma Darul Iman pada Rabu.

KUALA TERENGGANU – Pendaki yang mahu melakukan pendakian di lima gunung utama yang terletak dalam kawasan hutan simpanan kekal Terengganu diwajibkan menggunakan perkhidmatan malim gunung perhutanan (MGP) bermula 1 Januari nanti.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia susulan arahan dari Jabatan Perhutanan bahawa aktiviti pendakian bukit atau gunung berketinggian melebihi 457.2 meter diwajibkan menggunakan MGP bermula tahun depan.

Menurutnya, terdapat lima kawasan yang menjadi tumpuan pendaki di negeri ini iaitu gunung Sarut di Setiu, gunung Tebu di Besut, gunung Chemerong, Berembun Dan Lansir (CBL) di Dungun, gunung Bukit Tangga, Besut dan Bukit Bauk.

“Kita ada banyak gunung yang cantik dan sering jadi tumpuan kepada mereka gemarkan aktiviti lasak, namun setakat ini hanya lima gunung ini yang popular serta diwajibkan penggunaan MGP oleh Jabatan Perhutanan.

“Terengganu mempunyai 120 malim gunung terlatih dengan nisbah setiap seorang malim gunung akan menjadi jurupandu arah kepada tujuh pendaki,” katanya selepas hadir ke Majlis Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC’22) di Wisma Darul Iman, di sini pada Rabu.

MTCC’22 akan berlangsung pada 1 Oktober ini di Hutan lipur Lata Belatan, Besut melibatkan tiga kategori utama sejauh 15.6 kilometer berjaya menarik seramai 552 peserta dari seluruh negara.

Program tersebut berkonsepkan perlumbaan gunung yang dihidupkan semua dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan kali terakhir ia diadakan adalah pada tahun 2013.

Ariffin berkata, penggunaan malim gunung dilihat boleh mengurangkan kemalangan dan jumlahnya akan ditambah mengikut keperluan bagi memberi impak positif kepada industri pelancongan.

“Ia juga seiring dengan hasrat menjadikan Terengganu sebagai salah satu destinasi pelancongan sukan popular dalam negara.

“Jadi kita harap semua pendaki dapat mematuhi peraturan baharu ini dengan memohon permit serta khidmat malim gunung bagi mengelak dari dikenakan tindakan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya.