Penggunaan katil wad bersalin di Johor masih terkawal

in Edisi Johor by
TIAN SOON

JOHOR BAHRU – Penggunaan katil wad bersalin di hospital kerajaan di Johor masih dalam keadaan terkawal.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, secara keseluruhan bagi 11 hospital seluruh negeri, penggunaan sebanyak 521 katil obstetrik manakala 82 katil bersalin.

“Enam hospital berpakar menunjukkan kapasiti penggunaan katil wad obstetrik sehingga 127 peratus berdasarkan katil rasmi operasi hospital berpakar iaitu sehingga antara 30 hingga 126 katil.

“Hospital tersebut ialah Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail, Hospital Muar, Hospital Kluang, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dan Hospital Segamat,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Justeru, beberapa langkah diambil bagi mengatasi isu tersebut termasuk menyediakan katil-katil tambahan di wad obstetrik bagi menampung pesakit yang berlebihan jika diperlukan.

“Menempatkan pesakit di wad lain seperti wad gynaecology dan membenarkan pesakit discaj awal (pemerhatian sekurang-kurangnya enam jam selepas bersalin) bagi kes tertentu jika pemeriksaan ibu dan bayi didapati sihat,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata kadar kelahiran tinggi pada September hingga November menjadi punca kepada kesesakan katil di wad bersalin di hospital seluruh negara.