Penternak babi diarah selenggara ladang, sistem kumbahan

in Edisi Selangor KL by
Loy Sian (kiri) menerangkan sesuatu semasa melawat ladang ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

SHAH ALAM – Semua pengusaha ternakan babi di Tanjung Sepat, Kuala Langat diarah melaksanakan segera kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan ladang serta sistem kumbahan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, najis ternakan juga perlu dilupuskan di luar kawasan ladang dan dihantar ke tapak pelupusan dibenarkan.

Menurut beliau, arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) itu dikeluarkan selepas pihaknya memandang serius isu pencemaran.

“Lawatan bersepadu dijalankan JPV, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat pada Jumaat lalu.

“Hasil lawatan mendapati pencemaran sumber air berlaku kerana kaedah penternakan dan kawalan pencemaran konvensional iaitu bukan kaedah penternakan tertutup seperti kaedah Modern Pig Farming,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Loy Sian berkata, pengurusan kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam takungan di premis ternakan dan efluen disalirkan ke perparitan luar premis dan perairan pantai.

Menurut beliau, selain JPV, LUAS akan mengarahkan pemilik tanah berkaitan segera melaksanakan tindakan pemulihan saliran parit sehingga air yang dilepaskan keluar daripada lot tanah tidak tercemar.

Justeru katanya, pensampelan kualiti air juga akan dilaksanakan dan tindakan perundangan diambil sekiranya berlaku elemen pencemaran.

Loy Sian berkata, bagi pelan jangka panjang, sesi dialog bersama persatuan dan semua pengusaha penternakan babi di Selangor akan dijalankan terutama menyelaraskan perancangan dan memperkemaskan pengurusan operasi ternakan.

Tambah beliau, sehingga kini rekod JPV menunjukkan sebanyak 118 premis ternakan babi aktif beroperasi di Kuala Langat dan Sepang.

“Ternakan itu dijalankan di atas tanah lot berstatus pertanian dan semua premis berkenaan juga beroperasi dengan lesen yang didaftarkan oleh JPV,” katanya.

Menurut Loy Sian, aktiviti ternakan babi di Selangor tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1991, Kaedah-Kaedah Pelesenan Penternakan Babi (Negeri Selangor) 2012 dan Garis Panduan Pengurusan Sisa Buangan Ternakan Babi (Edisi 1, 2019).