Petronas, Mercedes-AMG F1 perkukuh kerjasama

in Sukan by
Tengku Muhammad Taufik (kiri) bertukar dokumen dengan Wolf selepas sidang media pada Rabu. Foto Bernama
Tengku Muhammad Taufik (dua, kiri) semasa majlis menandatangani MoU dengan Wolf pada Rabu. Foto Bernama

PETRONAS dan Mercedes-AMG F1 (Formula Satu) bersetuju untuk melanjutkan kerjasama teknikal dan ‘Title’ mereka, bermula 2026 dan seterusnya, ke arah menjadikan kerjasama mereka kepada dua dekad sejak 2010.

Kerjasama itu akan menyaksikan Petronas dan Silber Arrows menyahut cabaran dalam membangunkan satu standard tetap penggunaan 100 peratus bahan api mampan termaju, untuk peraturan unit kuasa 2026 yang ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik berkata, sinergi dan impian yang dikongsikan oleh kedua pihak, akan menghasilkan satu laluan kepada penyediaan secara bertanggungjawab kepada sukan dan pelanggan kami, tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan.

**media[1926178]**

“Berdasarkan kepada pengalaman yang ada sebagai sebuah pasukan sejak sedekad lalu dan keupayaan teknikal serta kepakaran yang diperoleh daripada gabungan bakat kami, Petronas berharap untuk melakarkan bab seterusnya dengan tumpuan kepada bahan api mampan termaju untuk Mercedes dan pasukan pelanggannya.

“Bersama-sama dengan rakan kongsi kami, Petronas akan terus mencipta sempadan dengan ‘Fluid Technology Solutions’ kami menerusi tawaran inovatif. Asas usaha kami ialah kemampanan dan juga kemajuan dalam mencapai masa hadapan rendah karbon,” katanya pada Rabu.

Terdahulu, perjanjian kerjasama itu telah ditandatangani Tengku Muhammad serta CEO dan Prinsipal Pasukan Mercedes-AMG F1, Toto Wolf.

Wolf berkata, Petronas telahpun memulakan pembangunan bahan api mampan termaju dan sedang diuji untuk penggunaan unit kuasa masa hadapan.

“Bermula 2026, bahan api mampan termaju akan menjanakan kuasa prestasi F1, yang boleh memberikan kami peluang untuk menunjukkan kepakaran kami menerusi kedua-dua unit kuasa dan Petronas Fluid Technology Solution,” katanya.

Baru-baru ini Majlis Sukan Permotoran Dunia FIA telah meluluskan satu peraturan baharu berkaitan peraturan unit kuasa dengan dua aspek utama ialah peningkatan kuasa elektrik dan 100 peratus penggunaan minyak mampan bermula musim 2026. – Bernama