PRU15: PH Terengganu tanding semua kerusi

in Politik by
Raja Kamarul Bahrin

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengumumkan untuk bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di negeri ini pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, keputusan meletakkan calon di semua kerusi itu dicapai dalam mesyuarat khas parti itu pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun menurutnya, pembahagian kerusi melibatkan parti komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Mesyuarat telah berjalan dalam suasana penuh harmoni dan lancar memberi isyarat bahawa Pakatan Harapan Terengganu telah bersedia untuk mengatur langkah terakhir menghadapi PRU15 ini.

“Hanya beberapa perkara kecil dan (agihan) kerusi sahaja yang perlu diselesaikan dalam waktu terdekat menjelang awal Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini pada Rabu.

Raja Kamarul Bahrin turut mengumumkan barisan kepimpinan PH Terengganu yang baharu dilantik iaitu Pengerusi PKR Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hing sebagai Timbalan Pengerusi PH negeri.

Beliau yang merupakan Pengerusi Amanah Terengganu berkata, mesyuarat juga bersetuju melantik Datin Faizah Ariffin sebagai Ketua Wanita PH negeri manakala jawatan Ketua Pemuda PH Terengganu pula dipimpin oleh Zamir Ghazali.

“Mohd Hasbie Muda dipilih sebagai Pengarah Manifesto dan dengan kepimpinan baharu ini kami yakin akan dapat menjalinkan kerjasama lebih erat bersama parti komponen,” katanya.