Speedy Tigers akur keunggulan Belgium

in Sukan by
Antara aksi menarik perlawanan Malaysia menentang Belgium di Sportcentrum Wilrijkse Plein, di Antwerp. Foto Malaysian Hockey Confederation

THE Speedy Tigers meneruskan aksi kedua Siri Jelajah Belgium dengan langkah kiri apabila tewas 0-7 kepada tuan rumah di Sportcentrum Wilrijkse Plein di Antwerp, pada Rabu.

Skuad kendalian Arul Selvaraj tampak kurang memberikan impak berdepan pasukan kedua terbaik dunia apabila lawan merobek gawang pasukan negara dengan dua jaringan pukulan sudut penalti pada suku pertama perlawanan.

Belgium kemudian terus garang apabila menambah satu jaringan gol padang pada suku kedua perlawanan sebelum melebar jaringan dengan empat lagi gol masing-masing pada suku ketiga dan suku terakhir perlawanan.

Menerusi sidang video yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Arul berkata, “Walaupun tewas 0-7 tapi banyak yang kita buat dengan bagus contohnya daripada segi pertahanan, corak bawaan bola.”

Sebelum ini, Speedy Tigers menewaskan Belgium A, 1-0 dalam aksi persahabatan pertama pada Selasa.