15,972 anggota siap sedia hadapi banjir di Selangor

in Edisi Selangor KL by
Program ini membabitkan 343 peserta daripada 67 agensi.
Muhamad Shah Osmin

SHAH ALAM – Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sedia menggerakkan sejumlah 15,972 anggota pelbagai agensi kerajaan negeri dan Pusat ke seluruh negeri bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang Monsun Timur Laut.

Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhamad Shah Osmin berkata, setiap anggota bersiap siaga untuk menguruskan sebarang kemungkinan jika banjir besar melanda.

Menurut beliau, persiapan dilaksanakan lebih awal pada tahun ini dengan menyiapkan anggota namun bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat daerah seperti ketua kampung, wakil penduduk juga boleh laksana kerja-kerja pengurusan.

“Pengurusan bencana tidak seharusnya dilaksana di peringkat agensi semata-mata, tetapi perwakilan penduduk dan mangsa sendiri berperanan dan bertanggungjawab bagi memastikan insiden tahun ini dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Latih Amal dan Simulasi Bencana Negeri Selangor yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini.

Program ini membabitkan 343 peserta daripada 67 agensi, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Muhamad Shah berkata, sebanyak 164 bot disediakan dan ditempatkan di semua daerah bagi berhadapan banjir, tidak termasuk aset-aset lain seperti lori dan kenderaan pacuan empat roda yang akan turut ditempatkan di setiap daerah.

**media[1926318]**

Beliau berkata, sebanyak 796 pusat pemindahan sementara (PPS) juga sudah diwartakan dan diselia JKM yang boleh menampung 151,000 mangsa banjir.

“Semua PPS itu boleh diaktifkan pada bila-bila masa mengikut keperluan dan terletak di seluruh Selangor, terbahagi kepada tiga kategori, iaitu besar, sederhana dan kecil mengikut kesesuaian lokaliti serta keperluan di sesuatu kawasan.

“Kita anggarkan pusat ini dapat menampung kira-kira 151,000 mangsa banjir. Ia sedia diaktifkan jika terdapat keperluan dan sah sekiranya libatkan pemberian bantuan kepada mereka,” katanya.

Mengenai program simulasi, katanya, ia diadakan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir, antaranya berkaitan operasi mencari dan menyelamat, pembukaan bilik gerakan dan bantuan.

Menurutnya, sebanyak 12 PPS yang aktif iaitu di daerah Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sepang, masing-masing diperuntuk RM20,000 untuk penambahbaikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

“Bagi kos penambahbaikan, Nadma memperuntuk PPS yang di kategori aktif untuk pembaikan kecil seperti baiki pintu, tandas dan sebagainya bagi memastikan keselesaan mangsa banjir,” katanya.