2022 'tahun bencana' pencairan glasier Swiss

in Global by
Gambar hiasan

WASHINGTON – Kadar pencairan glasier di Switzerland mencatat rekod tertinggi pada 2022, menurut laporan dikeluarkan pada Rabu oleh Rangkaian Pemantauan Glasier Switzerland, yang melabelkannya sebagai tahun bencana.

United Press International (UPI) melaporkan kajian baharu itu menunjukkan kira-kira.71 batu padu ais mencair, menyumbang lebih enam peratus daripada isipadu glasier. Sebelum tahun ini, peratusan kehilangan ais pada tahap dua peratus, sudah pun dianggap melampau.

Pelbagai faktor menyumbang kepada pencairan, termasuk gelombang panas di Eropah serta salji musim sejuk yang ringan pada 2021-22, menurut GLAMOS, sebuah pertubuhan ditubuhkan Suruhanjaya Kriosfera Akademi Sains Swiss.

Untuk tempoh tertentu setiap tahun, glasier biasanya dilindungi lapisan salji. Namun debu yang bertiup dari Gurun Sahara mungkin menyebabkan salji mengekalkan lebih banyak haba matahari dan seterusnya cair dengan lebih cepat tahun ini.

Tahap pencairan litupan salji yang cepat bermakna menjelang musim panas, glasier Switzerland terdedah kepada keadaan cuaca panas dan kering yang luar biasa, lapor UPI.

Stesen pemantauan yang dibuka untuk menyukat salji di seluruh Switzerland melaporkan penurunan salji secara mendadak tahun ini, dan dalam beberapa kes tiada langsung salji. Purata kehilangan ais kira-kira pada kedalaman 10 kaki di seluruh negara.

Banyak glasier yang lebih kecil di Switzerland, juga dilaporkan lenyap.

Rekod pencairan glasier di Switzerland sebelum ini ialah semasa gelombang panas pada 2003. – Bernama