326,500 ahli Skuad Waja siap sedia bantu mangsa banjir

in Nasional by
Siti Zailah (dua dari kiri) melihat buku dasar wanita pada Program Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan Majlis Pelancaran Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri pada Khamis. – Foto Bernama

KUALA NERUS – Seramai 326,500 ahli Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita sudah bersiap sedia membantu mangsa banjir di seluruh negara kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, sukarelawan di bawah skuad tersebut berupaya membantu mangsa banjir dalam pelbagai aspek termasuk memberi sokongan psikososial.

“Setakat ini, Skuad Waja yang telah berdaftar dengan kita adalah seramai 326,500 orang yang mana sebahagian daripada mereka sudah mendapat kursus dan latihan. Antara peranan Skuad Waja juga adalah untuk menangani isu-isu psikososial termasuk berkaitan mangsa-mangsa (banjir) di PPS (pusat pemindahan sementara),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sayyidatina Aishah 2022 dan melancarkan Dasar Wanita Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, dekat sini pada Khamis.

Siti Zailah berkata, sebahagian daripada 16,239 petugas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat juga antara lain akan memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir yang trauma terutama bagi mereka yang pertama kali berhadapan dengan musibah itu.

Dalam perkembangan lain, Siti Zailah menasihati masyarakat sama ada wanita atau lelaki supaya mendapatkan bantuan termasuk khidmat kaunseling yang disediakan di 108 pejabat kebajikan daerah di seluruh negara sekiranya mengalami masalah atau tekanan jiwa.

Katanya, Talian Kasih 15999 atau WhatsApp Talian Kasih di 0192615999 serta talian bebas tol 1800 820 300 yang disediakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) juga boleh dihubungi bagi mendapatkan pelbagai bantuan dan nasihat termasuk aduan keganasan rumah tangga. – Bernama