Bajet 2023: Banyakkan pembangunan infrastruktur hijau

in Khas by
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Perancangan dan pembangunan infrastruktur hijau dalam konsep perbandaran, diharapkan akan diberi penekanan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Suhardi Maulan berkata, pembangunan kawasan lapang dan hijau ini adalah elemen penting bagi menjadikan bandar lebih berdaya tahan, sejajar dengan matlamat Malaysia untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030.

“Kawasan lapang dan hijau ini memberi manfaat yang cukup besar kepada penduduk bandar sekali gus memainkan peranan penting dalam perancangan bandar yang sihat dan berdaya huni.

“Jadi, kita tidak boleh lagi memandang kawasan lapang dan hijau ini sebagai tempat rekreasi dan beriadah (semata-mata) tetapi perlu digabung jalin sebagai satu infratsruktur hijau yang boleh diguna pakai untuk mengurangkan bencana alam,” katanya kepada Bernama.

Justeru, katanya, sebagai usaha menambah, menjaga dan memelihara serta memulihara kawasan lapang dan hijau, penumpuan juga perlu diberikan kepada pembangunan kapasiti sumber manusia yang pakar seperti arkitek landskap dalam memastikan kemampanan bandar.

“Kita tidak mahu kawasan lapang dan hijau sedia ada atau akan datang dibiarkan dan tidak diselenggara dengan baik. Sebab itu, kita perlu ada bajet untuk kapasiti bangunan bagi melatih dan melantik mereka yang pakar dalam bidang berkenaan untuk menjaga kawasan ini supaya objektif yang ditetapkan tercapai,” katanya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamanlunlaili Abdullah mencadangkan pembinaan infrastruktur bagi tujuan penjanaan aktiviti ekonomi yang memberi penawaran pekerjaan juga diharap menjadi fokus Bajet 2023.

Beliau berkata, tempat perniagaan di kawasan pusat bandar sedia ada masih dapat menampung aktiviti perniagaan tetapi pertimbangan baharu boleh difokus kepada kawasan pinggir bandar bagi mengimbangi jumlah populasi penduduk yang semakin meningkat.

“Isu kesejahteraan bandar tidak boleh tercapai jika penduduk tidak mempunyai sumber pendapatan atau pekerjaan, ini kerana jaminan pekerjaan, kewangan yang stabil, kesihatan dan sosial adalah faktor penting kepada kemampuan hidup seseorang.

“Selain itu, pembaharuan bandar yang memberi tumpuan kepada pemulihan bandar yang telah merosot atau imej bandar mati juga penting bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi sekali gus dapat memberi nafas baharu di sesuatu kawasan yang lama,” katanya. – Bernama