Dakwaan culik pelajar: KPM teliti semua aspek

in Nasional by
Mohd Radzi berswafoto bersama peserta Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dan FGV Holdings Berhad di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai pada Khamis.

TANJUNG MALIM – Dakwaan cubaan culik membabitkan murid sekolah di beberapa negeri sejak kebelakangan ini akan diteliti dari segenap sudut, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat diambil Kementerian Pendidikan untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Menurutnya, dalam kebanyakan kes, didapati terdapat bermacam-macam laporan cubaan culik diberikan pelajar sebelum dibuktikan palsu oleh polis.

“Kita nak kena tahu apakah keadaan di belakang tersebut kerana secara umumnya, mereka kanak-kanak ini jujur, namun apa keadaan di sebaliknya, kita nak kena semak secara mendalam.

“Kalau kita nak kata macam-macam kepada anak-anak kita ini, generasi yang ada pada hari ini terdedah kepada pelbagai pendedahan maklumat dan sebagainya

“Jadi adalah penting, apabila dapat maklumat daripada polis, kita teliti dan lihat mengikut konteks tertentu untuk kita mengambil tindakan sewajarnya dalam apa jua keadaan. Kita tidak mahu melihatnya secara luaran sahaja dan terus membuat kesimpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program Eksplorasi Alam Lestari Siri Ketiga anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) dan FGV Holdings Berhad di Pusat Perlindungan Hidupan Liar di Sungkai pada Khamis.

Mohd Radzi berkata, kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan polis berhubung isu tersebut termasuk mengambil langkah proaktif memastikan keberadaan anak-anak di sekolah adalah selamat.

“Apabila polis buat siasatan, jika ada perkara-perkara yang memerlukan penelitian daripada kementerian, kita sentiasa bekerjasama untuk memastikan segala usaha dapat dilakukan bersama,” katanya.

Ujar beliau, pengurusan sekolah juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengingatkan murid tentang keselamatan diri dan mengeluarkan notifikasi untuk mengingatkan mereka akan bahaya.

“Ini bukan perkara baharu, perkara tentang keselamatan ini kita sentiasa tekankan di mana jua anak-anak kita berada.

Kes cubaan culik melibatkan pelajar sekolah telah dilaporkan berlaku di beberapa negeri antaranya Perak, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Bagaimanapun, siasatan yang dijalankan mendapati dakwaan tersebut bukan sahaja tidak berasas malah didapati palsu dan sengaja direka oleh pelajar terlibat.