Jangan panik keberadaan polis di sekolah

in Edisi by
Zainol (kiri) ketika bertemu untuk menyampaikan PJPN kepada Rahim (dua,kiri) dan Baharuddin (tiga,kiri) di Durian Daun di sini, pada Khamis.

MELAKA – Ibu bapa dan penjaga di Melaka dinasihatkan tidak panik sekiranya ternampak keberadaan kereta peronda polis (MPV) di sekitar kawasan sekolah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, ia bukanlah kerana terdapat kes penculikan atau sebagainya, namun merupakan tugasan biasa anggotanya membuat pemantauan dan rondaan keselamatan.

Menurutnya, itu adalah rondaan rutin dan tidak semestinya kehadiran anggota polis itu kerana ada kejadian jenayah yang berlaku.

Zainol berkata, pihaknya berharap maklumat yang tidak tepat serta palsu tidak dikongsikan kepada orang lain kerana boleh menggugat keharmonian dan kegusaran dalam kalangan orang ramai contohnya kes cubaan culik.

“Jangan panik, kalau ada maklumat yang meragukan jangan kongsi kepada orang lain kerana itu satu kesalahan dan jika ada perkara yang mencurigakan tanya polis,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) tanpa istiadat di Kampung Durian Daun di sini, pada petang Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dan Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Bencana Melaka, Ashwad Abd Rahim.

Pada majlis itu, dua bekas polis iaitu Rahim Baba yang berkhidmat selama 33 tahun dalam pasukan PDRM dan Allahyarham Puteh Ahmad yang diwakili anaknya, Datuk Dr Baharuddin Puteh menerima pingat PJPN.

Dalam perkembangan lain, Zainol mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bagi bersama bergading bahu dalam kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh dijangka pertengahan November depan.

Ujar beliau, agensi yang terlibat dalam bencana seperti itu telah bersiap siaga dan penglibatan NGO akan memantapkan lagi kerja-kerja penyelamatan termasuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Saya minta supaya NGO yang ada tampil di daerah-daerah polis dan berjumpa bagi memaklumkan bantuan apa yang boleh disalurkan dan kita boleh selaraskan,” kata beliau lagi.