Kolam Takungan Dwi-fungsi selesaikan isu banjir Petaling, Klang

in Nasional by
Tuan Ibrahim

PUTRAJAYA – Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau yang bakal dimulakan awal tahun depan dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir di sekitar Petaling dan Klang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek yang menelan belanja RM5.6 bilion dan siap menjelang tahun 2028 itu turut mampu meningkatkan rizab margin bekalan air melebihi 15 peratus.

“Projek ini dijalankan bersekali dengan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 2 (LRAL2F2) yang dapat meningkatkan bekalan air di Lembah Klang dengan memanfaatkan projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) dengan kapasiti 1,890 juta liter sehari (JLH),” katanya.

Menurutnya, sebagai kolam dwi-fungsi, projek itu mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan infrastruktur air yang berdaya tahan terhadap impak perubahan iklim susulan kejadian banjir buruk yang melanda Seksyen 13, 17, 20, 23, 24 dan 28 Shah Alam pada Disember tahun lalu.

“Kolam ini mampu mengekstrak sebanyak 26 juta kubik meter air dari Sungai Klang ketika aliran puncak yang membawa kesan penurunan dianggarkan sehingga 500 milimeter (mm) aras air di bahagian hilir sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek Kolam Takungan Dwi-fungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang-Sungai Rasau dan LRAL2F2 di kementeriannya pada Khamis.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim.

Tuan Ibrahim berkata, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang pula membabitkan skop-skop tebatan banjir, pembinaan dinding penahan banjir sepanjang 10 kilometer (KM), penstabilan tebing sungai sepanjang 15 kilometer (km), naik taraf empat pintu air berserta pam, pembinaan tujuh pintu air berserta pam dan pembinaan alur limpah dari Sungai Klang ke Kolam Banjir Kampung Lombong.

Ujarnya, pengoperasian kolam itu dijangka dapat menyelesaikan masalah banjir di kawasan USJ1, Kampung Tengah, Kampung Kenangan, Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Seri Aman di Daerah Petaling, Taman Mas Puchong dan Taman Putra Prima di Daerah Sepang, serta Pangsapuri Koi Prima di Daerah Kuala Langat.

“Komponen tebatan banjir ini juga dijangka dapat mengurangkan kekerapan banjir sehingga tahap perlindungan 200 Purata Selang Ulangan (ARI) di Sungai Klang dari kawasan Lanchong Jaya sehingga USJ1 Subang Jaya,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, projek LRAL2F2 secara langsung dapat menggunakan sepenuhnya sumber air yang dibekalkan dari Sungai Semantan, Pahang melalui terowong sepanjang 40km yang siap dibina pada tahun 2015.

“Setakat ini penyaluran air tersebut hanya dimanfaatkan melalui LRAL2F1 dengan kemampuan menerima sebanyak 1,130 JLH air mentah dari Sungai Semantan,” katanya.