PRU15: Undi calon atau parti?

in Analisis Sinar by

PILIHAN Raya Umum (PRU) merupakan komponen penting bagi negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Ia juga merupakan medium rakyat untuk memilih pemimpin yang ikhlas berjuang demi masa depan dan kesejahteraan negara kerana setiap calon atau parti yang bertanding mempunyai ‘umpan’ tersendiri.

Desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) umpama tin kosong tiada minuman, bunyinya kuat tapi tidak berisi. Tambahan pula, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau masih belum berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung tarikh sebenar PRU15 meskipun laungan bubar bergema oleh jentera UMNO menghangatkan lagi bahang PRU15 yang makin dirasa.

Pasca PRU14 pada tahun 2018 memperlihatkan ‘drama’ yang tidak pernah dialami dalam landskap politik sejarah Malaysia. Empat tahun berlalu dengan pantas, namun tidak akan ada yang lupa bagaimana BN tersungkur dengan kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) sekali gus menampilkan semula Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua.

Keputusan PRU14 dianggap sesuatu yang melangkaui jangkaan. Wujudnya ‘silent voters’ yang terlalu ‘ghairah’ dan tekad untuk membenamkan penguasaan BN terhadap negara sejak 63 tahun yang lalu. Bagaimanapun, adakah gelombang kebangkitan rakyat atau pengundi akan berulang kembali pada PRU15 yang kononnya akan tiba tidak lama lagi?

Politik negara dikatakan sedang matang, begitu juga rakyat sudah cukup dewasa dan faham dengan senario politik Malaysia. Oleh itu, tidaklah sewenang-wenangnya bagi mereka untuk ‘menyerahkan’ mandat pemerintahan kepada pemimpin yang hanya anggap jawatan adalah lubuk membina pengaruh dan mengaut keuntungan harta semata.

Pilihan raya umpama ‘gelanggang politik’ yang mana ia adalah tempat untuk parti politik menjuarai hati rakyat dengan menyajikan ‘janji-janji manis’ untuk meraih undi rakyat. Bagaimanapun, semuanya terletak di atas bahu rakyat untuk menentukan barisan kepimpinan yang layak untuk kemudi bahtera Keluarga Malaysia yang baharu.

Persoalannya adakah rakyat ataupun pengundi memilih calon ataupun parti? Bagi merancakkan lagi persoalan ‘panas’ yang wajib dihadapi setiap kali ‘pesta’ pilihan raya bermula, baru-baru ini wartawan Sinar Harian turun padang untuk meminta beberapa pandangan daripada orang awam.

Keputusan peti undi adalah berdasarkan aspirasi dan ideologi pengundi itu sendiri. Berdasarkan senario pada masa kini, sesetengah pengundi dikatakan sudah cukup ‘bijak’ akan mengutamakan kredibiliti calon yang dirasakan mampu membawa ‘suara rakyat’ demi menjaga kepentingan masyarakat yang diwakilinya.

Oleh sebab itu, ada pengundi sanggup menutup sebelah mata dengan memilih calon yang dirasakan ‘wira’ tanpa dipengaruhi dengan kekuatan sesebuah parti.

Hal ini demikian kerana, sesetengah pengundi berpendapat kualiti parti yang disanjung hanyalah pandai ‘berwayang’ dan hanya mahu menjaga ‘periuk nasi sendiri’ untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa. Begitu juga selepas janji-janji manis ketika pilihan raya dimungkiri berkali-kali begitu sahaja.

Bagaimanapun, tidak dapat disangkal lagi, kecenderungan mengundi atas dasar parti pada pilihan raya akan datang bukanlah sesuatu yang baharu. Hal ini demikian kerana, sudah tentu rakyat akan memilih parti yang boleh memberi manfaat dalam pelbagai aspek di samping kedudukan parti yang lebih kukuh tanpa mengambil kira calon yang bertanding.

Malah, boleh dikatakan kedudukan dan pengaruh sesebuah parti juga berperanan penting untuk menggerakkan institusi negara kerana calon ataupun individu semata-mata dikatakan tidak mampu mengubah dinamik negara. Oleh itu, pengundi secara automatik mengundi atas dasar parti berbanding atas dasar khidmat. Tanpa kewangan yang kukuh, tiadalah reformasi negara dan sebab itulah parti-parti yang ‘kaya’ selalunya menang.

Dari sudut pandangan lain pula, ada pengundi masih berada di takuk yang sama iaitu mengundi berdasarkan parti dengan barisan pemimpin veteran.

Apatah lagi parti politik itu telah lama wujud dalam sistem politik negara. Mereka seolah-olah tidak boleh ‘move on’ dan terhutang budi dengan jasa-jasa sesebuah parti politik itu yang selalu memberi ‘keselesaan’ sejak zaman Tuk Nadur berkajang kain.

Apa pun cara pemilihan sama ada parti atau calon, pengundi pada PRU akan datang diharap dapat membuat pilihan yang bijak.

* Nadjwatul Huda Mohd Zuraidi ialah Pencipta Kandungan Digital Sinar Harian