Risda mohon bantuan musim tengkujuh dipertingkatkan

in Khas by
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan (empat dari kanan) dan Mohd Salim (tiga dari kanan) bergambar bersama para pekebun kecil pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Penyampaian Dividen TSK Risda di Dewan Biduanda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, pada Khamis. – Foto Bernama

REMBAU – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memohon kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada 232,000 pekebun kecil di seluruh negara dalam pembentangan Belanjawan 2023.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pada tahun lepas, Risda telah memperuntukkan RM191 juta BMT kepada setiap pekebun kecil yang memiliki keluasan kebun getah kurang daripada 2.5 hektar.

“Jumlah peningkatan itu bergantung kepada bajet kerajaan yang akan dibentangkan nanti, terserah berapa tapi saya harap ia melebihi yang kita terima pada tahun lepas untuk membantu meringankan beban pekebun kecil.

“Sekarang jumlah BMT kita beri ialah RM600 seorang yang dibayar dua kali pada November dan Disember, jadi kita minta naikkan. Kita juga sudah adakan pertemuan dengan pekebun kecil membincangkan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pekebun Kecil Makmur dan Penyampaian Dividen Tanam Semula Komersial (TSK) RISDA peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi meminta harga getah sekerap dinaikkan kepada lebih RM3 sekilogram (kg) berbanding RM2.50 per kg ketika ini bagi meningkatkan pendapatan penoreh getah yang terjejas lebih-lebih lagi berdepan dengan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Kita minta harga lantai ditingkatkan 50 sen yang akan membabitkan kos kira-kira RM500 juta, tetapi kita kena tengok juga kemampuan kewangan kalau tak boleh sekurang-kurang kerajaan boleh naikkan BMT,” katanya.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, pendapatan bulanan pekebun kecil ketika ini sekitar RM750, tidak mencukupi untuk menampung kehidupan dengan kos sara hidup semakin tinggi sekali gus menyebabkan sektor komoditi itu mengecil kerana tidak ramai berminat mengusahakannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, kementerian sedang merangka dua syor untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu menaikkan harga lantai getah sekerap kepada lebih RM3 sekilogram dan melanjutkan tempoh BMT daripada tiga bulan kepada enam bulan.

Mahdzir berkata, satu jawatankuasa kabinet telah diwujudkan melibatkan tiga kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Kementerian Kewangan bagi memperhalusi dan mengenal pasti syor terbaik untuk dilaksanakan.

Terdahulu, seramai 1,343 pekebun kecil sawit Risda di Negeri Sembilan menerima dividen TSK hasil keuntungan daripada projek kebun yang diuruskan Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) membabitkan RM6.33 juta sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

Mohd Salim berkata, agensi itu turut menyerahkan Kelulusan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Pembangunan Usahawan Bimbingan Risda Peringkat Negeri Sembilan bernilai RM 2.2 juta yang memberi manfaat kepada 388 usahawan di negeri itu. – Bernama