Stadium baharu: Perak FC perlu buat permohonan tanah dulu

in Sukan by
Saarani menyempurnakan gimik perasmian Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Saarani

IPOH – Kerajaan negeri belum menerima permohonan rasmi daripada Kelab Bola Sepak Perak (Perak FC) berhubung hasrat pemilikan tanah bagi membangunkan stadium dan latihan sendiri di Chepor di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sekiranya hasrat itu mahu diteruskan, permohonan perlulah dibuat kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk melalui proses yang telah ditetapkan.

“Saya belum dapat permohonan itu. Dia (Perak FC) hantar kepada siapa?

“Mereka kena hantar kepada Pejabat Tanah, katakan permohonan tanah itu di Chepor, maka kena hantar kepada Pejabat Tanah Manjoi dan permohonan itu akan diproses,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Pidato Perak Sejahtera 2030 Piala Menteri Besar Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Saarani berkata, tiada jaminan keistimewaan diberikan terhadap permohonan itu, sebaliknya akan melalui proses sama sepertimana permohonan pemilikan tanah kerajaan yang lain.

“Orang yang mohon tanah ada ramai, ada nak buat stadium, padang bola, kuil, bangunan sekolah dan macam-macam lagi.

**media[1926333]**

“Jadi untuk permohonan Perak FC ini, kita layan sepertimana permohonan biasalah, tak boleh minta hari ini, esok nak dapat, itu tak boleh,” katanya.

Beliau berkata, sepertimana kebiasaan, PTG perlu membuat semakan dan perincian bersama jabatan teknikal lain terlebih dahulu bagi memastikan tanah yang dimaksudkan benar-benar kosong dan sesuai.

“Jika semua jabatan tiada halangan, maka syor pemilikan itu akan dibawa PTG ke dalam mesyuarat Exco. Kalau PTG kata boleh diluluskan, maka Mesyuarat Exco akan luluskanlah,” katanya.

Perak FC dilapor berhasrat memiliki sebuah stadium dan pusat latihan sendiri bagi menyediakan prasarana terbaik kepada pemainnya sebagai usaha membawa kembali pasukan itu ke puncak kegemilangan.

Menurut Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, terdapat tanah ‘kosong’ di sekeliling pusat latihan pasukan di Chepor, Ipoh yang dilihat sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat latihan baharu selain hotel, pusat fisioterapi, gimnasium dan kemudahan lain yang diperlukan pemain.

Permohonan itu dimaklumkan sudah dibuat kepada pihak berkuasa di Perak dan proses perbincangan masih lagi berjalan.

Perak FC yang ketika ini bersaing dalam Liga Premier dijangka bertanding dalam Liga Super musim depan ekoran penstrukturan semula Liga Malaysia (Liga-M) yang dilakukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun keputusan rasmi hanya akan diketahui dalam masa terdekat.