Tangani dua isu utama, elak Bajet 2023 jadi sia-sia

in Nasional by
Usaid

SHAH ALAM – Kerajaan perlu segera menangani dua isu utama yang bakal menjejaskan perancangan ditetapkan dalam Bajet 2023 iaitu rasuah dan tahap kecekapan serta penyampaian dana diperuntukkan menerusi belanjawan berkenaan.

Ketua Penerangan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Muda Malaysia, Usaid Asmadi berkata, kedua-dua perkara itu merupakan musuh utama perlu diatasi dengan bersungguh-sungguh agar Bajet bakal dibentangkan itu mencapai objektif disasarkan.

“Jika tidak, bajet yang diletakkan meski besar dan gah manapun, ia akan menjadi bajet yang disia-siakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas mengenai isu rasuah, beliau berkata, kesan negatif budaya tersebut terhadap pembangunan dan pengurusan negara tidak lagi boleh diambil ringan oleh semua pihak.

“Kita perlu sedar gara-gara rasuah, negara tidak dapat membangun dengan optimum kerana kos pengurusan dan pentadbiran tiba-tiba naik berganda-ganda hanya untuk memenuhi permintaan tangan-tangan ghaib, bukan tangan-tangan yang memerlukan.

“Peningkatan kos ini tidak menjadikan jentera penyampaian berjalan dengan lebih efisien, sebaliknya, hanya memenuhi kantung poket orang tertentu atas dasar ‘membantu mendapatkan projek’. Kesan buruknya? Ya, ia menimpa bertalu-bertalu kepada rakyat,” ujarnya.

Usaid berkata, kerajaan harus memastikan proses kelulusan bajet diperuntukkan itu melalui prosedur yang telus tanpa dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasinya untuk kepentingan peribadi.

Dalam pada itu, beliau berkata aspek, kerajaan juga perlu membaiki kelompongan yang berlaku dalam sistem penyampaian dan pelaksanaan Bajet kerana ia dilihat menyumbang kepada berlakunya ketirisan pembaziran besar dana kerajaan.

“Kita tidak boleh hanya menunggu laporan daripada Ketua Audit Negara mahupun laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dikeluarkan baru mahu bertindak kerana ketika itu kita sudah terlambat untuk menyelamatkan dana awam daripada dirugikan.

“Sewajarnya, ketika perbelanjaan berkenaan sedang digunakanlah kerajaan harus pastikan ia mematuhi piawaian yang telah ditetapkan dengan sikap yang penuh berintegriti dan bermaruah,” jelas beliau.

Sementara itu, Usaid berkata, dengan mengambil krisis dihadapi negra ketika ini, rakyat Malaysia seharusnya memberikan perhatian terhadap Bajet kali ini agar ia disalurkan ke pihak yang betul dan memerlukan.

“Kita tidak harus cepat terpesona dengan jumlah-jumlah yang bakal diletakkan dalam pembentangan bajet nanti. Bahkan, ia harus diperhatikan semula dengan beberapa pertanyaan, adakah bajet berkenaan benar-benar bermanfaat buat rakyat kebanyakan?

“Adakah bajet berkenaan benar-benar diuruskan dengan cekap dan berkesan? Adakah ada bajet yang tidak perlu ada dalam perancangan kerajaan? Dan adakah apa-apa ketirisan dan pembaziran dalam pengurusan bajet berkenaan?

“Pertanyaan ini mesti kita tanyakan, kerana akhirnya yang terkena kesannya adalah kita, dan generasi akan datang,” katanya.