Tengkujuh: Taman Eko-Rimba, hutan simpan ditutup sementara

in Edisi by
Taman Eko-Rimba Air Menderu antara kawasan yang akan ditutup ketika tengkujuh nanti.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan menutup sementara semua Taman Eko-Rimba, laluan pendakian termasuk aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpan Kekal di negeri ini bermula 1 November nanti.

Penolong Pengarah Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Negeri, Zaida Zakaria berkata, penutupan selama empat bulan itu perkara biasa dilakukan setiap tahun kerana musim tengkujuh dan risiko berlaku kepala air.

“Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti.

“Sepanjang tempoh tersebut, semua aktiviti bagi tujuan rekreasi, trekking, pacuan empat roda dan sebagainya di dalam Hutan Simpanan Kekal adalah tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Sementara itu menurut Zaida, Jabatan Perhutanan negeri akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di semua kawasan yang ditutup bagi mengelak berlakunya sebarang pencerobohan.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya ada mengesan aktiviti pencerobohan ke Taman Eko-Rimba dan hutan simpanan kekal dan sekiranya ditangkap mereka boleh dikenakan kompaun serta tindakan undang-undang.

Jadi, saya harap orang ramai dapat mematuhi larangan ini bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.

Katanya, terdapat tujuh Taman Eko-Rimba di Terengganu yang sering menjadi tumpuan pengunjung iaitu Taman Eko-Rimba Air Menderu, Chemerong, Lata Belatan, Lata Payung, Lata Tembakah, Sekayu dan Bandar Bukit Bauk.

“Mengikut rekod, tujuh Taman Eko-Rimba ini mencatatkan seramai 47,792 pengunjung sepanjang tahun lepas dengan Sekayu merekodkan pengunjung paling ramai iaitu 20,702 orang diikuti Air Menderu dan Bandar Bukit Bauk,” katanya.